Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Serdang dan Bangi, Ong Kian Ming mengumumkan keluar daripada DAP berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun menurutnya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat.

Selain itu, ujar bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan, beliau juga tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.

“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya (“Are We OK”), melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kian Ming berterima kasih kepada Tony Pua yang menjemputnya menyertai parti DAP dan panduan yang diberikan kepadanya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.

Beliau juga berterima kasih kepada Penasihat DAP, Lim Guan Eng kerana memberinya peluang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP.

“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here