BAYAN LEPAS – Polis menahan seorang wanita tempatan dan lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung penemuan bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam tong sanitari di tandas orang kurang upaya (OKU), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, pada 31 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan di Kompleks Bukit Jambul hasil siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
”Wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan dan kini menerima rawatan di hospital manakala suspek lelaki itu direman empat hari bermula semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas mengenai kejadian Anuwal berkata, bayi lelaki berkenaan ditemukan seorang pekerja pembersihan selepas terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sanitari di tandas OKU LTAPP.
Katanya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan beberapa sampel diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.
“Bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan serta kaitan individu-individu yang ditahan dengan kejadian tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan tular video penemuan bayi berkenaan di tandas lapangan terbang berkenaan. – MalaysiaGazette
Bayi masih bertali pusat ditemukan dalam tong sanitari di LTAPP
















