MELAKA – Pemuda Kampung Morten memohon maaf kepada semua pihak susulan kejadian ‘pickpocket’ yang berlaku di kampung berkenaan baru-baru ini, selain mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan insiden itu yang tular semalam.
Ketua Pemuda Kampung Morten, Ahmad Safwan Salim berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan memahami kebimbangan serta ketidakselesaan yang timbul susulan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan pihak berkuasa dan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.
“Untuk makluman, laporan telah dibuat di Balai Polis Melaka Tengah jam 6.56 petang semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Kami amat kesal atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas segala kesulitan, kebimbangan dan ketidakselesaan yang timbul dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Malah tambahnya, Pemuda Kampung Morten akan akan berusaha sedaya upaya membantu menangani perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat serta para pengunjung Kampung Morten terus terpelihara.
Semalam, tular kejadian seorang wanita mendakwa menjadi mangsa seorang lelaki yang menawarkan bantuan selepas telefon bimbitnya hilang ketika berada di sekitar Sungai Melaka sebelum meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM200.
Menurut wanita berkenaan, kejadian berlaku ketika dia sedang duduk di bangku tepi sungai bersama ibunya sebelum menyedari telefon bimbitnya hilang.
Dakwanya, tidak lama kemudian seorang lelaki menghampirinya dan mendakwa melihat seseorang mengambil telefon berkenaan sebelum memberitahu rakannya sedang mengejar individu terbabit.
Lelaki itu kemudiannya didakwa menyuruh wanita berkenaan mengikutnya kerana rakannya dikatakan sudah menangkap individu yang mengambil telefon berkenaan dan mendapatkan semula telefon miliknya.
Wanita itu turut mendakwa lelaki berkenaan bertanya mengenai jenis dan harga telefon sebelum meminta wang ‘duit kopi’ untuk diberikan kepada rakannya.
Menurutnya, lelaki terbabit kemudian pergi ke kawasan rumah kampung di sekitar Kampung Morten sebelum menyerahkan semula telefon bimbit berkenaan kepadanya.
Bagaimanapun, lelaki itu didakwa terus meminta RM200 dan mendesaknya supaya membayar wang berkenaan.
Wanita terbabit kemudian bertanyakan lokasi rakannya serta individu yang mengambil telefon berkenaan kerana mahu membuat laporan polis, namun lelaki tersebut didakwa terus meminta wang.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian beberapa pengguna media sosial lain yang mendakwa pernah berdepan dengan individu sama.
Susulan kejadian itu, Ahmad Safwan memohon semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa membuat sebarang kesimpulan awal berhubung kejadian tersebut.
“Marilah kita bersama-sama menjaga nama baik Kampung Morten serta memastikan kampung ini kekal sebagai sebuah komuniti yang selamat, harmoni, mesra dan dihormati oleh semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















