Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak melambai ketika hadir ke mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikat, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak hari ini berjaya dalam rayuannya apabila Mahkamah Rayuan memerintahkan prosiding kebankrapan terhadapnya berhubung tunggakan cukai RM1.69 bilion ditangguhkan sehingga rayuan cukainya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) diputuskan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab, bersama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.

Panel sama turut membenarkan rayuan anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, yang berdepan tuntutan tunggakan cukai RM37.6 juta.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 November 2025 yang sebelum ini menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Dalam penghakimannya, panel mendapati Mahkamah Tinggi terlalu bergantung kepada prinsip ‘bayar dahulu, pertikai kemudian’ tanpa menilai beberapa isu khusus dan substantif yang dibangkitkan pihak perayu.

“Prinsip ‘bayar dahulu, pertikai kemudian’ bukan halangan mutlak terhadap budi bicara mahkamah untuk mencegah ketidakadilan,” menurut panel.

Mahkamah bagaimanapun menjelaskan kewujudan rayuan cukai di PKCP tidak secara automatik memberikan asas untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Sebaliknya, panel mendapati terdapat beberapa isu serius yang, secara individu atau terkumpul, boleh menjadi alasan mencukupi untuk memberikan penangguhan berkenaan.

Antara isu yang perlu diputuskan dalam rayuan cukai ialah persoalan had masa di bawah Seksyen 131(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pihak perayu berhujah bahawa lebih 80 peratus tuntutan berkenaan terhalang oleh had masa lima tahun, berdasarkan notis taksiran tambahan bertarikh 20 Mac 2019.

Panel turut mengambil kira persoalan berkaitan penarikan balik taksiran melalui Borang JR pada 19 Mac 2019 sebelum taksiran baharu dikeluarkan melalui Borang JA pada hari berikutnya.

Mahkamah juga memberi perhatian kepada isu pengiraan tuntutan kira-kira RM1.69 bilion, termasuk dakwaan cukai berganda serta pengendalian sejumlah dana yang dikaitkan dengan derma dan dividen yang dipulangkan dalam pengiraan cukai.

Satu lagi persoalan yang dianggap serius ialah pertindihan antara dana yang menjadi subjek pertuduhan jenayah terhadap Najib dengan tuntutan cukai berkenaan.

Ia termasuk persoalan sama ada hasil yang didakwa diperoleh secara tidak sah dalam pertuduhan jenayah boleh pada masa sama dianggap sebagai pendapatan yang sah untuk dikenakan cukai.

Mahkamah Rayuan turut tidak bersetuju dengan pendekatan Mahkamah Tinggi yang melihat kerosakan tidak dapat diperbaiki hanya dari sudut kemampuan mendapatkan semula wang.

Sebaliknya, panel berpandangan kebankrapan boleh membawa kesan lebih luas termasuk terhadap reputasi, kedudukan undang-undang dan keupayaan seseorang meneruskan prosiding undang-undang.

“Prosiding kebankrapan berpotensi menjejaskan keupayaan perayu untuk meneruskan rayuan di PKCP dan menjadikan haknya di sisi undang-undang tidak dapat dilaksanakan secara bermakna,” menurut panel.

Mahkamah turut mengambil kira kewujudan pelbagai prosiding jenayah dan sivil lain yang sedang berjalan, yang berpotensi terjejas sekiranya perintah kebankrapan dikeluarkan.

Pada masa sama, penangguhan itu tidak menjejaskan hak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menguatkuasakan liabiliti cukai berkenaan selepas rayuan di PKCP diputuskan.

Kes itu berpunca daripada penghakiman terus Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan tunggakan cukai bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017, iaitu RM1.69 bilion terhadap Najib dan RM37.6 juta terhadap Nazifuddin.

Rayuan mereka terhadap penghakiman terus tersebut sebelum ini ditolak di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Susulan itu, prosiding kebankrapan dimulakan terhadap kedua-duanya sebelum mereka memohon penangguhan sementara menunggu rayuan cukai di PKCP.

Permohonan itu ditolak Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 29 Julai 2024 dan keputusan berkenaan kemudiannya dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 17 November 2025.

Dengan keputusan hari ini, kedua-dua prosiding kebankrapan ditangguhkan sehingga rayuan masing-masing di PKCP diputuskan.

Mahkamah turut memerintahkan kos RM30,000 bagi setiap rayuan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here