TEHRAN – Iran menegaskan pertahanan negara ini hanya menyasarkan sasaran ketenteraan berbanding Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menyerang orang awam sebagai corak biasa dalam perang yang dilancarkan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, laporan rasmi Qatar turut mengesahkan perkara itu.
Dalam hantaran di akaun X miliknya, beliau berkata, Kerajaan Qatar mengesahkan dalam dokumen rasmi yang dikemukakan kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bahawa serangan pertahanan Iran terhadap tentera AS yang ditempatkan di wilayah Qatar “menyasarkan kemudahan ketenteraan AS” dan “tiada kawasan awam menjadi sasaran”.
Dalam laporan IRNA, beliau berkata, satu-satunya pengecualian yang didakwa Qatar ialah serangan terhadap sebuah kemudahan gas pada 18 Mac.
“Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kemudahan yang diserang pada hari itu digunakan bagi menyokong pencerobohan ketenteraan AS terhadap Iran,” tegas beliau.
Baqaei berkata, keadaan itu amat berbeza dengan rekod AS yang didakwanya mempunyai sejarah panjang melakukan serangan sengaja terhadap sasaran awam, termasuk sekolah, hospital, kawasan kediaman, majlis perkahwinan dan jambatan.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan terdapat perbezaan besar antara sebuah negara bertamadun yang memahami kepentingan mematuhi prinsip moral dan kemanusiaan walaupun dalam keadaan paling sukar berbanding dengan pemerintah yang mengamalkan peperangan serta tidak menghiraukan undang-undang atau etika dalam usaha memperluas kuasa. – Agensi
















