PENGKALAN CHEPA – Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan beliau menggunakan kedudukannya sebagai Presiden Pas untuk campur tangan dalam keputusan yang dibuat di peringkat nasional parti.
Beliau berkata, Pas mengamalkan prinsip demokrasi dengan memberi ruang kepada pimpinan dan ahlinya mengemukakan pandangan secara terbuka sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Tak betul. Kita mengamalkan demokrasi. Kita boleh mempunyai pandangan terbuka,” katanya pada sidang media selepas
menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kedudukannya dalam Pas mempunyai pengaruh terhadap keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat nasional.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, Abdul Hadi telah melanggar keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) apabila mengumumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau berpandangan Pas bertindak secara unilateral apabila mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kedua-dua pengumuman itu bukan sahaja tidak menghormati prinsip permuafakatan dan musyawarah dalam PN selama ini, malah bertentangan dengan Perlembagaan PN apabila Presiden parti anggota boleh bertindak bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.
Dalam pada itu Abdul Hadi menegaskan, Pas sentiasa memberi ruang kepada pimpinan untuk menyuarakan pandangan masing-masing dalam proses membuat keputusan.
Katanya, keterbukaan dalam menerima pandangan merupakan antara pendekatan yang diamalkan dalam parti bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara bersama dan demokratik. – MalaysiaGazette
















