Takiyuddin Hassan

PENGKALAN CHEPA – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, isu berkaitan kelulusan operasi perjudian yang berlaku ketika Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjadi Menteri Kewangan tidak pernah dibawa ke Kabinet atau melalui memorandum Jemaah Menteri.

Sebaliknya, dakwa beliau, perkara itu diputuskan di peringkat Kementerian Kewangan kerana ia berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan pada ketika itu.

“Saya ingat perkara itu tidak pun dibawa ke Kabinet. Hanya di peringkat Kementerian Kewangan.

“Minta Tengku Zafrul sahkan, dia menteri kewangan, kami menteri lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Persamian dan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Tengku Zafrul berhubung isu perjudian ketika beliau menerajui Kementerian Kewangan.

Berdasarkan laporan media, Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri itu dipetik berkata, keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu adalah tanggungjawab bersama Jemaah Menteri, termasuk menteri daripada Pas ketika itu.

Katanya, cabutan khas bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperkenalkan sejak 1999, malah, had siling 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, ketiadaan perkara itu dibawa ke Kabinet menyebabkan menteri lain tidak mempunyai maklumat mengenainya pada ketika keputusan tersebut dibuat.

“Bila tak dibawa ke Kabinet, kami tidak ada maklumat. Bila dah keluar beberapa kali itu, barulah kami buat teguran dan benda itu dah putus. Itu Kementerian Kewangan punya bidang kuasa,” ujarnya.

Takiyuddin turut menegaskan, beliau tidak mengingati adanya kertas Kabinet atau memorandum Jemaah Menteri berkaitan keputusan tersebut.

“Saya ingat saya tidak dibawa ke Kabinet. Tidak ada kertas Kabinet. Tidak ada memorandum Jemaah Menteri.

“Diputuskan memang bidang kuasa di Kementerian Kewangan,” katanya.

Pada masa sama Takiyuddin menjelaskan, kementerian lain tidak mempunyai maklumat mengenai keputusan yang dibuat sekiranya sesuatu perkara itu tidak dibawa untuk pertimbangan dan keputusan Kabinet. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here