KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dikenakan tindakan kerana membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama yang boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.
Katanya, perbuatan berkenaan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, selain berpotensi mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
“Apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.
“Tolong bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua kementerian kerajaan bertindak sedemikian rupa dengan berbelanja sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira sama ada negara mampu atau tidak,” katanya dalam kenyataan.
Guan Eng turut membangkitkan isu surat sokongan yang dikeluarkan kementerian, selain Kementerian Kewangan, yang menurutnya sebelum ini telah diharamkan kerana boleh dianggap sebagai surat jaminan kerajaan tersembunyi.
Jelasnya, berdasarkan perundangan kewangan negara, hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.
“Tindakan pernah diambil apabila surat sokongan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa restu Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng mempersoalkan kontraktor yang menerima manfaat daripada kontrak KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan kementerian melebihi peruntukan yang diluluskan.
“Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan akauntabel?,” soalnya.
Menurutnya, Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion.
Pada 2024, katanya, perbelanjaan KKDW meningkat kepada RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2025 sebanyak RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk tempoh tiga tahun 2023 hingga 2025 semasa KKDW di bawah Ahmad Zahid Hamidi.
“RM2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023,” tegas beliau.
Guan Eng berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid sepatutnya menunjukkan contoh seorang pemimpin yang berjimat cermat dan berhemah dalam menguruskan kewangan kerajaan.
“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















