KUALA LUMPUR – UMNO tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat pemimpin kanannya didakwa atas kesalahan yang mempunyai bukti kukuh, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, parti berkenaan bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat asas kukuh untuk tindakan pendakwaan dilakukan.
“Saya tidak dapat maklumat rasmi lagi mengenai perkara itu (dakwaan pemimpin kanan UMNO akan ditahan) tetapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) yang berlangsung sejak semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, sebarang pendakwaan sepatutnya didahului proses siasatan yang dilakukan secara adil dan telus.
“Tetapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, sepatutnya ia dimulakan dengan siasatan dan siasatan itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan MalaysiaGazette bahawa seorang pemimpin kanan UMNO mungkin dipanggil, ditahan atau dikenakan tindakan selepas PAU 2026.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, beliau belum menerima maklumat rasmi berhubung dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette
















