KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganggap kehilangan kuasa pada 2018 sebagai noktah perjuangan kerana yakin mampu kembali menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebangkitan semula UMNO-BN bukan sekadar angan-angan, sebaliknya berlandaskan pengalaman parti mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sepanjang sejarah penubuhannya.
“Pada tahun 2026 atau 2027, awal atau pertengahan atau akhir, Insya-Allah dewan ini akan menyaksikan UMNO dan BN berkuasa semula. Insya-Allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sejarah membuktikan UMNO bukan parti yang mudah dikuburkan walaupun pernah melalui episod getir, termasuk kehilangan majoriti dua pertiga dan kerajaan Persekutuan.
“Dewan ini juga telah menyaksikan bahawa pada tahun 2018 kita kehilangan dua pertiga majoriti. Pada tahun 2018, kita kehilangan kerajaan Persekutuan.
“Jangan ada sesiapa menganggap UMNO sudah berakhir,” katanya,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman pahit berkenaan seharusnya menjadi pembakar semangat kepada seluruh ahli, bukannya alasan untuk menyerah kalah atau meragui masa depan parti.
Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan dalaman menjadi racun yang akhirnya melemahkan UMNO.
Katanya, sejarah panjang parti menunjukkan UMNO mampu bangkit setiap kali berdepan tekanan, namun kebangkitan itu memerlukan kesatuan, disiplin dan kerja keras seluruh jentera.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi isyarat bahawa pintu hubungan dengan Pas semakin terbuka selepas beberapa pemimpin parti itu hadir mengikuti PAU2026.
Beliau menyifatkan kehadiran wakil Pas sebagai perkembangan positif yang membuka ruang lebih luas untuk membina semula hubungan antara kedua-dua parti.
“Saya menterjemahkan ini merupakan isyarat positif bahawa ruang persahabatan sedang terbuka dengan seluas-luasnya.
“Hubungan ini perlu diperkukuhkan dan bukan sekadar atas pertimbangan politik, tetapi demi perpaduan umat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mencari titik persamaan dan memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti.
“Insya-Allah kita akan mengadakan perbincangan dan terus berbincang dengan mereka,” katanya.
Antara pemimpin Pas yang hadir ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan UMNO kekal mempunyai hala tuju dan pendirian politik sendiri, termasuk dalam menentukan bentuk kerjasama yang terbaik untuk kepentingan parti, rakyat dan negara.
Kini, dengan PRU16 semakin menghampiri, UMNO bukan sahaja mahu membuktikan parti itu masih relevan, malah memasang sasaran lebih besar kembali menguasai Putrajaya. – MalaysiaGazette
















