IPOH – Seorang lelaki warga Nepal berusia ditemukan meninggal dunia dekat sebatang pokok di lereng bukit di puncak Bukit Perak Cave Temple, Jalan Kuala Kangsar dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.33 tengah hari.
Katanya, sejurus selepas itu sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di kaki bukit, anggota terpaksa berjalan kaki melalui laluan berbukit sejauh dua kilometer untuk tiba di puncak. Pasukan bomba menemukan seorang lelaki warga asing tergantung pada sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, operasi menurunkan mangsa dilakukan selepas bomba menjalankan penilaian awal kejadian di lokasi.
“Pasukan bomba menggunakan pengusung serta tali bagi membawa mayat mangsa yang berusia 26 tahun itu ke tebing bukit.
“Mayat mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun dengan dibantu oleh beberapa anggota polis,” katanya.
Sabarodzi berkata, mayat mangsa yang telah diperiksa pihak polis kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan bagi tindakan selanjutnya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Johari Mohammad itu ditamatkan sepenuhnya pukul 4.10 petang. – MalaysiaGazette
















