MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka memperkenal satu lagi inisiatif baharu menerusi Skim Bantuan Pelajaran Anak Asnaf yang melayakkan setiap bayi pasangan asnaf yang baru dilahirkan menerima RM3,000.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, skim bantuan berkenaan mula dilaksanakan sejak Jun lalu.
Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan lalu, seramai 30 bayi asnaf di negeri berkenaan menerima manfaat bantuan itu.
“Setiap bayi asnaf yang baru lahir, kita akan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk kita masukkan bantuan RM3,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Seramai 89 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima anugerah pada majlis itu.
Rahmad menjelaskan, wang bantuan itu hanya boleh dikeluarkan daripada akaun SSPN itu selepas bayi berkenaan berumur 18 tahun.
“Selepas mengambil kira dividen yang bakal diterima dalam simpanan SSPN itu, jumlah yang tersimpan itu dijangka bertambah,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi MAIM akan terus berusaha mensejahterakan rakyatmelalui pelbagai lagi inisiatif.
– MalaysiaGazzette
















