JOHOR BAHRU – Seorang janda memberi alasan membantu memasak dan mengemas semasa ditangkap khalwat dalam rumah sewa seorang lelaki bujang di sebuah pangsapuri di daerah ini hari ini.
Bagaimanapun helah tersebut tidak menjadi apabila penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tetap menahan pasangan tersebut dalam operasi cegah maksiat tersebut.
Menurut JAINJ pihaknya dimaklumkan oleh pengadu, wanita berusia 40-an itu sering bersekedudukan dengan lelaki terbabit yang berusia 30-an terutama pada sebelah malam dan pulang waktu subuh.
Pihaknya menerima aduan pukul 11 malam sebelum melakukan serbuan pukul 1.50 pagi dan ketika pemeriksaan mendapati pintu utama serta gril rumah berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu selepas loceng ditekan beberapa kali.
“Pemeriksaan pihak JAINJ kemudian menemukan seorang wanita berpakaian t-shirt dan berseluar panjang berada di ruang tamu. Pasangan ini mengaku mereka bukan suami isteri dan bukan juga adik-beradik atau mahram.
“Lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Johor Bahru manakala wanita itu berstatus janda anak satu dan turut bekerja di kawasan sama,” jelas kenyataan tersebut.
JAINJ memaklumkan, rumah tiga bilik berkenaan disewa lelaki terbabit yang mendakwa tinggal seorang diri manakala wanita itu dikatakan kerap datang ke rumah berkenaan pada waktu malam.
“Wanita itu memberi alasan datang untuk membantu memasak dan mengemas rumah. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat makanan di dapur dan rumah juga berada dalam keadaan kemas.
“Bagaimanapun, berdasarkan aduan diterima, wanita berkenaan dikatakan beberapa kali datang pada waktu malam dan keluar sekitar pukul enam pagi keesokan harinya.
“Pasangan ini turut merayu supaya tidak ditahan dengan alasan mereka tidak melakukan sebarang maksiat,” kata kenyataan.
Walaupun pasangan itu memberikan alasan tidak berbuat apa-apa, pemeriksaan dalam bilik tidur mendapati katil kelamin mempunyai cadar yang tidak teratur.
Bagaimanapun, penguat kuasa menjelaskan perbuatan berkurung atau berada bersama-sama bukan mahram dalam keadaan sedemikian boleh menjadi kesalahan khalwat mengikut peruntukan undang-undang syariah Johor.
Kedua-duanya turut mengakui mempunyai hasrat untuk berkahwin tetapi belum menghadiri kursus perkahwinan atau membuat permohonan pernikahan.
Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















