Tiga maut dalam kemalangan melibatkan SUV Honda BRV dan Perodua Axia di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi, hari ini.- Foto ihsan IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Tiga termasuk suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda BRV dan kereta Perodua Axia di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Nahas pukul pukul 6.20 petang itu mengorbankan penumpang Honda BRV, Mohd Noor Selamat berusia 58 tahun dan suami isteri yang menaiki Perodua Axia, Mohd Herwan Alias, 38, serta Nur Ezazaya Mohd Ali, 34.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku apabila Honda BRV yang dipandu lelaki tempatan berumur 42 tahun bersama-sama dua penumpang lelaki iaitu penumpang yang masing-masing berusia 58 tahun.

Seorang penumpang berusia 58 tahun yang menaiki SUV maut dalam kemalangan tersebut manakala pemandunya cedera.- Foto ihsan Bomba Johor

“Sementara pemandu Perodua Axia dipandu lelaki warganegara berumur 38 tahun bersama-sama penumpang hadapan wanita warganegara berumur 34 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BRV dari arah Kota Tinggi- Kluang terbabas masuk laluan bertentangan bertembung Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan penumpang belakang Honda BRV dan penumpang depan Perodua Axia cedera parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasangan suami isteri menaiki Perodua Axia maut selepas kereta dinaiki dilanggar SUV yang terbabas masuk ke laluan mereka.- Foto ihsan Bomba Johor.

Pemandu Perodua Axia parah dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala pemandu serta penumpang depan Honda BRV mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Semua mayat mangsa yang terlibat telah dirujuk ke Forensik HKT bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya.

Kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pasukan keselamatan memberi bantuan awal terhadap lima mangsa yang terlibat dalam nahas dua kenderaan tersebut. Foto ihsan bomba Johor

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Azri Yusof berkata, enam anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, operasi tamat pukul 7.43 malam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here