Rukun negara
Rukun Negara mengaitkan perpaduan dengan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. 

Oleh: Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil

KETIKA identiti agama semakin kerap dijadikan garis pemisah dan bahan pertentangan, seruan supaya masyarakat bersikap toleransi sahaja tidak lagi memadai. Toleransi mungkin dapat menghalang permusuhan terbuka tetapi belum tentu melahirkan kepercayaan, keadilan atau kesediaan untuk saling melindungi.

Persoalan yang lebih mendasar bagi komuniti agama di Timur dan Barat ialah sama ada kita mampu mengubah kehidupan secara berdampingan kepada suatu komitmen bersama untuk memelihara maruah insan. Kita mempunyai landasan yang kukuh untuk bermula.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menegaskan bahawa seluruh manusia dilahirkan bebas serta setara dari segi maruah dan hak. Mesej ini selari dengan petunjuk al-Quran dalam Surah Al-Isra’ ayat 70 yang menjelaskan Allah SWT telah memuliakan anak-anak Adam. Kedua-dua sumber ini mengiktiraf bahawa maruah insan ialah hak hakiki yang bersifat sejagat, bukannya hak eksklusif sesebuah bangsa, negara, mahupun kelompok agama.

Dari sudut moral, kefahaman ini tidak sekali-kali memadamkan perbezaan teologi atau menuntut penganut agama mengorbankan pegangan mereka. Sebaliknya, ia menjamin agar perbezaan tidak dijadikan alasan untuk menghina, memaksa, atau melakukan kekerasan ke atas sesama manusia.

Dalam kerangka ajaran Islam ia dapat dilihat dalam konsep fiqh al-ta’ayush. Perkataan fiqh merujuk kepada kefahaman yang mendalam, manakala al-ta’ayush bererti hidup bersama. Apabila digabungkan kedua-dua perkatan ini, ia membawa pengertian yang lebih luas iaitu kehidupan secara aman damai.

Sebenarnya ia menggarap prinsip keadilan, hubungan kejiranan, kemaslahatan awam, pemenuhan perjanjian serta perlindungan nyawa dan kehormatan untuk diterapkan dalam realiti masyarakat majmuk. Asasnya dapat dilihat dengan jelas dalam al-Quran.

Manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya mereka saling mengenali. Umat Islam diperintahkan supaya berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak
memerangi orang Islam kerana agama, menegakkan keadilan sekalipun ketika berhadapan dengan kebencian, serta bekerjasama dalam perkara kebajikan.

Al-Quran turut menyebut perlindungan terhadap rumah ibadat seperti masjid, gereja, tokong dan lain-lain. Dalam kerangka ini, kepelbagaian bukan alasan untuk mendominasi pihak lain dan bukan juga penghalang kepada tanggungjawab bersama.

Maqasid Syariah memperkukuh pendekatan tersebut melalui pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta, keluarga dan maruah. Piagam Madinah pula menyediakan teladan sejarah yang penting. Komuniti agama yang berbeza mengekalkan identiti masing-masing, namun menerima kewajipan bersama berkaitan keselamatan, keadilan dan pertahanan.

Pengajarannya bukanlah bahawa segala perbezaan perlu dihapuskan. Sebaliknya, kerjasama berprinsip dapat dibina apabila setiap komuniti mengiktiraf identiti masing-masing serta tanggungjawab kewargaan yang dikongsi.

Pendekatan hidup bersama secara aman dan damai dapat juga dilihat dalam Deklarasi Istiqlal (1995), Deklarasi Marrakesh (2016), kerangka Faith for Rights Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2017) dan Dokumen Persaudaraan Kemanusiaan (2019). Meskipun ia lahir daripada konteks yang berbeza. Semuanya menuju ke arah prinsip yang serupa iaitu kewarganegaraan perlu bersifat inklusif, rumah ibadat mesti dilindungi, hasutan dan keganasan perlu ditolak, manakala dialog mesti diterjemahkan kepada kerjasama yang nyata.

Meskipun begitu, ia tidak menuntut bahawa semua agama adalah sama. Malah, agama Islam diletakkan pada tempat yang tinggi Dalam konteks ini, Malaysia memberikan contoh yang bernilai, meskipun tidak sempurna. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, di samping membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai.

Peruntukan lain dalam Perlembagaan menyentuh mengenai kesamarataan (Perkara 8), kebebasan beragama (Perkara 11) dan hak pendidikan (Perkara 12). Susunan ini berusaha mendamaikan sejarah negara, kedudukan Islam, kebebasan beragama, ketenteraman awam dan kestabilan sosial.

Pengalaman ini perlu dinilai secara realistik, kekurangannya harus diakui tetapi pencapaiannya juga tidak wajar diketepikan. Jaminan perlembagaan semata-mata tidak mampu menghasilkan kepercayaan sosial. Pengalaman Malaysia turut diperkukuh oleh prinsip kewarganegaraan dan institusi awam.

Rukun Negara mengaitkan perpaduan dengan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Dasar Perpaduan Negara, Malaysia Madani dan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama menyediakan ruang tambahan untuk dialog dan kerjasama.

Keterlibatan sedemikian tidak perlu mengaburkan sempadan teologi. Literasi agama, kunjungan ke rumah ibadat dan khidmat kemasyarakatan bersama dapat memperdalam kefahaman tanpa menuntut seseorang menerima doktrin agama lain.

Keseimbangan sosial amat rapuh apabila isu agama kerap dimanipulasi hingga membakar emosi, dijadikan modal politik atau diseret ke wilayah persaingan untuk mengadu kekuatan. Keadaan bertambah buruk apabila fitnah tersebar lebih cepat daripada kebenaran lalu mengheret masyarakat bertindak atas dasar prasangka.

Dalam hal ini, pemimpin politik dan agama memegang tanggungjawab besar untuk menenangkan keadaan, menyahkan dakwaan palsu sebelum mengulanginya serta menangani kebimbangan masyarakat secara berhemah. Pertuturan yang bertanggungjawab bukannya tanda kelemahan, melainkan asas adab dan tiang seri keharmonian masyarakat majmuk.

Perkara yang jauh lebih utama ialah keharmonian hubungan harian. Buktinya, jiran bertukar-tukar hidangan, sanak saudara dan sahabat handai saling menziarahi ketika musim perayaan serta rakyat berganding bahu di sekolah, hospital, tempat kerja, hingga ke pertubuhan masyarakat.

Amalan inilah yang membina kepercayaan kukuh agar krisis tidak mudah tercetus. Memang benar undang-undang boleh membendung perbuatan yang memudaratkan, namun ia semata-mata tidak mampu memupuk semangat persaudaraan. Keamanan sejati hanya akan terjalin apabila sikap saling menghormati menjadi budaya hidup harian dan bukannya sekadar laungan dalam acara rasmi.

Langkah seterusnya adalah untuk membawa keterlibatan antara agama melebihi upacara simbolik. Pemimpin serta institusi agama perlu menekankan pendidikan belia dan literasi agama bagi semua pihak, bertindak bersama bagi menangkis maklumat palsu serta kebencian, mempertahankan mana-mana komuniti
yang rumah ibadatnya diancam dan bekerjasama membantu golongan rentan.

Usaha kemanusiaan dan pemeliharaan alam sekitar juga menyediakan ruang untuk menzahirkan tanggungjawab moral bersama. Melalui dialog bersama antara penganut Islam dan bukan Islam, ia akan memperoleh keyakinan masyarakat apabila perlindungan akan diberikan, masalah dapat diselesaikan dan kemaslahatan umum diperkukuhkan.

Kerjasama seperti ini perlu dibina sebelum tercetusnya ketegangan, bukan hanya digerakkan selepas sesuatu krisis berlaku. Hubungan yang dipupuk secara berterusan membolehkan pemimpin agama berhubung dengan pantas, menjernihkan salah faham dan menghalang tindakan segelintir pihak daripada merosakkan keharmonian seluruh masyarakat.

Oleh itu, Malaysia tidak harus dianggap sebagai “acuan yang sempurna” tetapi sebagai pengalaman yang terus berkembang dan boleh menawarkan pengajaran kepada masyarakat lain. Hasil pengalaman ini ialah sesebuah negara tidak perlu memilih antara menegakkan kebebasan beragama dengan pengiktirafan terhadap maruah insan yang setara (karamah insaniyah).

Melalui fiqh al-ta’ayush, umat Islam dapat kekal setia kepada ajaran Islam sambil melindungi kebebasan yang sah dan kehormatan penganut agama lain. Apabila komuniti agama merentasi perbezaan yang hakiki untuk saling melindungi dan berkhidmat bersama, perkongsian Timur-Barat tidak lagi menjadi slogan diplomatik. Ia tampil lsebagai kekuatan moral yang hidup demi keamanan dan kesejahteraan insan.

Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

 

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here