Nur Ellysya menunjukkan gambar terakhir abang dan kakak iparnya sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – “Dia (kakak ipar) tak bagi ibu dengan anak saya usia tiga tahun naik kereta bersama-sama dengannya. Dia berkali-kali melarang dan berkeras tak bagi naik. Saya ada rasa tak sedap hati juga masa itu. Mungkin dia dah tahu nak ‘pergi’.

“Sebelum kejadian saya, ibu bersama-sama abang dan kakak ipar serta tiga lagi pergi beriadah di Gunung Berlumut, Kluang pada sebelah pagi. Saya perasan abang dan kakak ipar saya berkepit dan banyak menghabiskan masa bersama-sama dan kurang bercampur dengan kami.”

Demikian cerita Nur Ellysya Alias, 29, adik kepada Mohd Herwan Alias, 38, dan kakak iparnya, Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, yang terkorban dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 31.2 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini semalam.

Mohd Herwan dan Nur Ezazaya maut dalam nahas dua kenderaan lewat petang semalam.

Bercerita lanjut, Nur Ellysya yang merupakan suri rumah berkata, dia juga menyaksikan Nur Ezazaya sangat ceria dan keadaan itu amat berbeza kerana kakak iparnya merupakan sorang yang pendiam.

Dia berkata, selesai mandi, mereka yang terdiri daripada empat keluarga bertolak dari gunung tersebut pada pukul 4.30 petang tetapi masing-masing mengikut laluan berbeza untuk pulang ke rumah yang semuanya menetap di daerah ini.

Nur Ellysya berkata, mereka sepatutnya berkonvoi pulang bersama-sama tetapi abang dan kakak iparnya itu mahu singgah di bandar Kota Tinggi menyebabkan mereka mengambil laluan berlainan.

Pasangan suami isteri menaiki Perodua Axia maut selepas kereta dinaiki dilanggar SUV yang terbabas masuk ke laluan mereka.

Katanya, abang dan kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Buai di sini ketika terlibat dalam kemalangan.

“Saya mengetahui kejadian tersebut selepas sepupu terlihat gambar kereta abang saya sebelum menghubungi saya.

“Saya kemudian cuba menghubungi abang melalui telefon tetapi tidak berjawab. Saya kemudian dapat tahu kejadian ini daripada keluarga besan kami. Kami yang ketika itu sudah sampai di kampung terus berpatah balik ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, hari ini.

Tiga maut dalam kemalangan melibatkan SUV Honda BRV dan Perodua Axia di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi, semalam.- Foto ihsan IPD Kota Tinggi

Dia berkata, abangnya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik yang berkahwin dua tahun lalu masih belum dikurniakan zuriat.

Tambahnya, jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Buai dalam satu liang lahad selepas waktu Zuhur hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu, pasangan tersebut yang menaiki kereta Perodua Axia bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda BRV dipandu beberapa lelaki yang baru pulang dari memancing.

SUV tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan dan melanggar Perodua Axia tersebut.

Kemalangan itu bukan sahaja mengorbankan pasangan tersebut tetapi juga pemandu SUV, Mohd Noor Selamat, 58, manakala dua lagi penumpang lagi cedera parah.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here