Harga minyak terus meningkat, ketegangan Timur Tengah cetus kebimbangan bekalan
HONG KONG – Harga minyak meningkat ketara pada hari Isnin, dengan minyak mentah Brent melepasi AS$107 setong susulan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Minyak mentah Brent bagi penghantaran November meningkat 2.8 peratus kepada AS$107.54 setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Oktober naik 2.3 peratus kepada AS$102.34.
Kedua-dua kontrak itu meneruskan kenaikan minggu lalu selepas kembali melepasi paras AS$100 setong.
Tumpuan pasaran kekal kepada perkembangan di Timur Tengah apabila kebimbangan keselamatan terbaharu mengancam laluan eksport tenaga utama.
Perkembangan itu berlaku selepas Arab Saudi menutup sementara saluran paip East-West susulan serangan dron, manakala sebuah kapal dagang diserang di Selat Hormuz pada Ahad, mengorbankan seorang dan mencederakan tiga yang lain, menurut pihak berkuasa Iran.
Selat Hormuz sebelum ini bebas digunakan untuk transit sebelum perang tercetus, namun Iran kini mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran dan sedang mempertimbangkan mekanisme mengenakan bayaran perkhidmatan.
Kapal-kapal yang tidak mematuhi arahan berkenaan kerap menjadi sasaran serangan Iran, manakala Amerika Syarikat secara berkala mengebom kawasan pantai Iran bagi mencabar kawalan republik Islam itu terhadap selat berkenaan.
Oman turut menangguhkan rundingan antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai masa depan laluan perairan strategik itu, yang menjadi laluan penting bagi sebahagian besar perdagangan minyak dunia melalui laut. – Agensi
















