BERA – Statusnya sebagai Tapak Ramsar pertama Malaysia tidak menghalang timbulnya dakwaan bahawa lebih 50 peratus kawasan hutan simpan Tasik Bera telah diteroka, termasuk untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.
Maklumat yang diperoleh MalaysiaGazette daripada sumber itu menimbulkan persoalan mengenai skala sebenar penerokaan serta pihak yang berada di sebalik aktiviti berkenaan.
Persoalan utama ialah sama ada tanaman komersial dalam kawasan terbabit benar-benar diusahakan sendiri oleh masyarakat Orang Asli Semelai atau terdapat penglibatan pihak ketiga.
Jika benar ia diusahakan komuniti Orang Asli, timbul persoalan mengenai sumber modal, jentera, tenaga kerja serta rangkaian pemasaran yang diperlukan untuk mengusahakan tanaman komersial pada skala besar.
Sekiranya terdapat pihak ketiga pula, siapakah mereka, apakah bentuk hubungan atau perjanjian dengan komuniti setempat dan siapa sebenarnya menerima hasil daripada tanaman berkenaan?
Persoalan itu penting kerana Tasik Bera bukan kawasan hutan biasa.

Tasik semula jadi terbesar di Malaysia itu merupakan Tapak Ramsar pertama negara dan mempunyai kepentingan antarabangsa sebagai kawasan tanah lembap yang perlu dipulihara. Malaysia menyertai Konvensyen Ramsar pada 1994 dengan Tasik Bera menjadi tapak pertama negara yang diiktiraf di bawah konvensyen berkenaan.
Kawasan itu turut menjadi penempatan masyarakat Orang Asli Semelai yang mempunyai hubungan sejarah yang panjang dengan Tasik Bera.
Sumber kerajaan sebelum ini menyatakan komuniti Semelai telah bertapak di kawasan Tasik Bera selama lebih 600 tahun dan kehidupan mereka berkait rapat dengan ekosistem tanah lembap serta hutan di sekitarnya.
Justeru, dakwaan penerokaan lebih 50 peratus itu bukan sekadar menimbulkan persoalan mengenai keluasan tanah yang telah dibuka.
Ia turut menuntut penjelasan mengenai siapa yang meneroka, siapa membiayai aktiviti berkenaan, atas kapasiti atau kebenaran apa ia dilakukan dan siapa yang menikmati hasil tanaman tersebut.
Isu penerokaan Tasik Bera kembali mendapat perhatian selepas lima Orang Asli ditahan ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, seorang lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30-an hingga 60-an ditahan kerana dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas.
Menurut polis, sekumpulan individu didapati mendirikan halangan dan melakukan provokasi terhadap pasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan operasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Operasi penguatkuasaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 itu melibatkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Laporan media menyebut operasi berkenaan menyasarkan tanaman kelapa sawit dan getah di kawasan hutan simpan itu.
Ketegangan ketika operasi turut menjadi perhatian selepas rakaman video tular menunjukkan seorang anggota UPNP menyepak bekas pembakaran kemenyan tradisional yang diletakkan di atas tanah.
Rakaman berkenaan mengundang pelbagai reaksi dan kritikan di media sosial.
Lima Orang Asli ditahan halang penguat kuasa jalankan tugas di hutan simpan
Insiden penahanan lima Orang Asli itu sekali gus membuka persoalan lebih luas mengenai aktiviti pertanian komersial di kawasan Tasik Bera.
Selain tindakan terhadap individu yang didakwa menghalang operasi penguatkuasaan, persoalan mengenai pihak yang membiayai, mengurus dan memperoleh hasil daripada tanaman komersial di kawasan berkenaan juga memerlukan penjelasan.
Lebih penting, jika benar penerokaan sudah mencapai skala seperti didakwa, persoalannya bukan lagi sekadar siapa yang berada di dalam kebun ketika operasi dilakukan, tetapi siapa sebenarnya di belakang aktiviti komersial tersebut.
Wartawan MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di lokasi mendapati penduduk memasang kain rentang dengan tulisan ‘pertahankan tanah adat Orang Asli Semelai Tasik Bera’.
Beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah dan hasil tinjauan ini akan disiarkan dalam siri kedua Tasik Bera diteroka. – MalaysiaGazette
















