Datuk Seri Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempertikaikan keputusan kerajaan negeri yang mengumumkan proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkuatkuasa.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini menyifatkannya tidak sah.

Aminuddin berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana dokumen yang menjadi asas kepada pengumuman berkenaan iaitu proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April 2026 dan dikatakan dibuat oleh Undang Yang Empat pernah dikemukakan kepadanya ketika beliau masih menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, beliau masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 19 April 2026 dan hanya berakhir pada 2 Ogos 2026.

Katanya, dokumen proklamasi itu dikemukakan kepadanya pada 20 April lalu untuk ditandatangani mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

“Saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.

“Saya menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang terlibat dalam urusan proklamasi tersebut serta menyempurnakannya pada 19 April lalu kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin turut mendakwa, tiada siasatan penuh dan lengkap seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) UUTKNS pernah dijalankan di hadapannya.

Beliau berkata, dakwaan Undang Luak Johol dalam afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026 bahawa siasatan itu dijalankan dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong adalah tidak benar.

“Tidak ada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap DYMM Tuanku Muhriz. Baginda juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab sebarang dakwaan.

“Hal ini merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan negeri berhubung status proklamasi tersebut.

Menurutnya, pada 9 September lalu, kerajaan negeri secara terbuka menyatakan dokumen berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS selain menyifatkannya tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.

Namun, katanya, hanya tujuh hari kemudian, Exco kerajaan negeri yang sama memutuskan proklamasi berkenaan telah lengkap dan berkuat kuasa.

Aminuddin turut mendakwa, Exco tidak mempunyai kuasa di bawah UUTKNS untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Artikel berkaitan:

Beliau berkata, Dewan Keadilan dan Undang yang bersidang pada 13 September dan mengeluarkan keputusan pada 14 September lalu turut menegaskan proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal.

Katanya, keputusan itu juga menegaskan, Tuanku Muhriz ialah satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan keputusan berkenaan telah disampaikan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri serta Penasihat Undang-Undang Negeri.

Aminuddin turut mempersoalkan pengumuman pada 16 September lalu yang menyatakan proklamasi berkenaan hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) selepas Menteri Besar menandatangani dokumen tersebut pada 3 Ogos 2026.

Pada masa sama, katanya, pengumuman itu menyatakan seorang pengganti telah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11.

“Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang.

“Saya tidak mengiktiraf pengumuman pada 16 September lalu itu. Saya menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” jelasnya.

Aminuddin turut mendakwa, tindakan anggota Exco mengeluarkan pengumuman berkenaan sebagai perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap setiap anggota Exco yang terlibat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sah, berkuat kuasa – Kerajaan Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here