Betty Banafe dengan dua anaknya.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Betty Banafee serta adiknya, Shakib Abu Bakar Banafee bersetuju membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah berkaitan penerbitan kenyataan mengenai sebuah syarikat perkapalan Bumiputera di Johor.

Betty atau nama sebenarnya Ibtisam Betty Banafee Sekh Abu Bakar dan Shakib, seorang peniaga restoran membuat permohonan maaf itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Selasa lalu di hadapan Hakim Budiman Lutfi Mohamed.

Menurut peguam yang mewakili syarikat berkenaan, Datuk Arthur Wang Ming Way, kedua-dua beradik itu sebelum ini telah menerima perintah injunksi pada 11 September 2024 namun didakwa masih mengekalkan hantaran berkaitan syarikat tersebut di media sosial.

Katanya, hantaran berkenaan dimuat naik menerusi akaun TikTok, Instagram dan Facebook milik Betty pada 1 September 2024, 8 September 2024 dan 12 Disember 2024.

“Pada 4 November 2025, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memberi kebenaran untuk permohonan komital difailkan terhadap mereka akibat tindakan mengekalkan hantaran mengenai syarikat tersebut yang dimuatnaik oleh Betty Banafee di akaun TikTok, Instagram dan Facebook miliknya pada 1 September 2024, 8 September 2024 dan 12 Disember 2024.

“Permohonan komital tersebut merupakan permohonan komital kedua terhadap adiknya manakala permohonan komital pertama terhadap Betty Banafee.

“Tiga notis telah dihantar sebelum ini bagi menggesa penurunan kandungan berkenaan namun tidak menerima sebarang pengesahan bertulis positif,” katanya dalam kenyataan. 

Arthur berkata, Shakib turut didakwa mengeluarkan kenyataan sama yang dimuat naik menerusi akaun TikTok milik kakaknya pada 2 Disember 2024.

Beliau berkata, kedua-dua mereka bersetuju membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari mulai semalam menerusi platform media sosial Betty dan kandungan berkenaan perlu dikekalkan selama sebulan.

Dalam pada itu, Arthur berkata, peguam yang kini mewakili Betty dan Shakib merupakan firma guaman ketiga selepas dua firma guaman terdahulu membuat keputusan menarik diri daripada mewakili mereka.

Sebelum ini, mahkamah turut menolak permohonan Shakib untuk melakukan semakan dokumen terhadap syarikat perkapalan berkenaan pada 30 April 2023.

Menurut Arthur, pasangan adik-beradik itu turut berdepan satu lagi prosiding mahkamah membabitkan saman fitnah oleh syarikat sama yang difailkan sejak Januari 2023 dan masih berjalan.

Pada September 2024, Betty dan Shakib turut mencetuskan kontroversi selepas membuat beberapa kenyataan yang mempertikaikan siasatan polis berhubung satu kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here