Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membantah sebarang usaha menyerahkan pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik kepada India untuk dibicarakan di negara itu.

Naib Presiden PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, pendirian berkenaan bukan perkara baharu kerana pertubuhan itu sejak awal mempertahankan Zakir.

Menurutnya, pada 2017, Zakir pernah menerima Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara yang dilaporkan sebagai anugerah tertinggi PERKASA.

“Kita tidak mahu Zakir Naik diserahkan kepada India untuk diadili. Bukan kerana kami mengatakan beliau kebal daripada undang-undang tetapi kerana kami tidak yakin penyerahan beliau ke India boleh dilakukan tanpa menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan, kebebasan dan hak beliau untuk mendapat keadilan,” katanya dalam kenyataan.

Irwan berkata, alasan Zakir boleh dihantar ke India untuk dibicarakan di mahkamah negara itu tidak menyelesaikan persoalan berhubung keadaan dan jaminan proses perbicaraan yang bakal dihadapinya.

“Persoalannya bukan semata-mata sama ada beliau akan dibawa ke mahkamah. Persoalannya ialah mahkamah yang bagaimana, dalam keadaan yang bagaimana dan dengan jaminan keadilan yang bagaimana?” soalnya.

Beliau berkata, PERKASA tidak mahu Zakir diserahkan kepada India sekiranya proses tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan hak dan keselamatan beliau.

Bagaimanapun pertubuhan itu tidak pernah menyatakan bahawa Zakir perlu lari daripada undang-undang sekiranya terdapat pertuduhan terhadapnya.

Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang dan sistem kehakiman sendiri yang boleh digunakan sekiranya terdapat kesalahan yang didakwa dilakukan di negara ini.

“Yang PERKASA bantah ialah menyerahkan seorang yang berada di Malaysia kepada sebuah negara lain untuk menghadapi perbicaraan yang keselamatan dan keadilannya menjadi persoalan.

“Nyawa manusia bukan bahan tawar-menawar diplomatik,” tegasnya.

Irwan turut menegaskan, keadilan bukan sekadar memastikan seseorang hadir di kandang tertuduh, sebaliknya merangkumi hak untuk membela diri serta mendapat proses yang bebas dan adil tanpa menjadi mangsa tekanan politik.

Katanya, hubungan Malaysia dengan India tetap boleh diteruskan, namun dalam isu Zakir, Malaysia perlu berpegang kepada prinsipnya sendiri.

“PERKASA bersama beliau. PERKASA pernah memberikan beliau penghormatan tertinggi dan hari ini PERKASA tetap bersama pendirian tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here