Pekarangan Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat semula di Istana Negara hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MalaysiaGazette difahamkan agenda permohonan Najib menjadi satu-satunya perkara dalam agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijangka bersidang jam 9 pagi ini.

Langkah mengadakan satu lagi mesyuarat dalam tempoh begitu singkat dianggap luar biasa kerana penetapan mesyuarat sedemikian lazimnya merupakan prerogatif pihak eksekutif.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh tiba di Istana Negara melalui Pintu 2 kira-kira jam 7.48 pagi tadi.

Kira-kira 10 minit kemudian disusuli Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Permohonan Najib tidak diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri kemudian memaklumkan bahawa Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan itu ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Pada mesyuarat sama, Agong berkenan memberikan pengampunan kepada 65 banduan.

Banduan bukan warganegara yang menerima pengampunan pula diarahkan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan.

Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan yang ketika itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Bekas Presiden UMNO itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion pada 2025 selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB berasingan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here