KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon pembubaran Parlimen.
Ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan hari ini yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah secara bersyarat.
“Alhamdulillah Datuk Seri Najib dapat tahanan di rumah. Boleh rehat-rehat dulu seminggu dua Bossku nanti kita sembang-sembang macam dulu-dulu.
“Nga Kor Ming boleh dah letak jawatan menteri dan DAP boleh dah keluar kerajaan.
“Anwar, siap-siap kemas office dan pergi menghadap YDP Agong untuk bubar Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Gesaan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dibuat selepas Timbalan Pengerusi DAP itu menegaskan akan meletakkan jawatan sekiranya Najib tidak menghabiskan baki hukuman di penjara seperti yang ditentukan.
Katanya, pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara dan tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi.
Bagaimanapun, Bendahari DAP Wilayah Persekutuan, Ben Fong Kok Seng sebelum ini dilaporkan berpandangan parti itu wajar mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Kabinet sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang disabitkan terhadapnya.
Terdahulu pagi tadi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan.
Ini bermakna, bekas Perdana Menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Namun sekiranya beliau gagal mematuhi mana-mana syarat tersebut, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International.
Hukuman asal 12 tahun penjara kemudian dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta pada 2024. -MalaysiaGazette
















