[Gambar hiasan] Kanak-kanak etnik Rohingya berkeliaran ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kangkar Tebrau, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Pendekatan pragmatik kerajaan dalam menangani isu pelarian Myanmar, termasuk usaha penghantaran pulang secara berperingkat, adalah demi menjaga kedaulatan negara tanpa mengetepikan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia, kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Mohammed Taufiq Johari.

Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkata langkah berstruktur berkenaan perlu dilihat berdasarkan realiti keselamatan domestik dan kerumitan diplomasi serantau, bukannya melalui tuduhan yang tidak mengambil kira cabaran pengurusan pelarian.

“Dakwaan bahawa langkah kerajaan hari ini ‘memalukan, tidak berakhlak, dan mencemar imej negara’ gagal mengambil kira realiti keselamatan domestik dan kerumitan diplomasi serantau yang dihadapi kerajaan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menolak naratif bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan pentadbiran terdahulu sekadar untuk meraih modal politik.

Dr Mohammed Taufiq Johari

Sebaliknya, Dr Mohammed Taufiq berkata langkah kemanusiaan yang diambil pada masa lalu tidak disusuli pelan pengurusan sempadan atau exit strategy yang jelas, sekali gus mewujudkan kelompongan dasar yang kesannya masih ditanggung negara sehingga kini.

Mengulas dakwaan yang menyamakan rundingan diplomatik bersama pemimpin Myanmar dengan hubungan bersama rejim Israel, beliau menegaskan perbandingan itu tidak tepat dari segi undang-undang dan diplomasi.

Katanya, Myanmar ialah negara jiran serantau dalam ASEAN, manakala penghantaran pulang pelarian Myanmar ke tanah asal mereka memerlukan persetujuan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

“Enggan berunding dengan Myanmar hanya akan mengekalkan status pelarian ini di Malaysia tanpa apa-apa penyelesaian, malah keadaan tersebut juga sesuatu yang tidak adil kepada pelarian itu sendiri mahupun rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata usaha penghantaran pulang secara berperingkat, bermula dengan 5,000 orang berdasarkan persetujuan rasmi Myanmar untuk menerima mereka semula, turut disertai proses pemantauan dan kerjasama serantau; berbeza daripada tindakan pengusiran secara membuta tuli.

Dalam pada itu, beliau berkata kadar penempatan semula pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke negara ketiga masih mengecewakan, sekali gus memerlukan pendekatan pengurusan yang lebih tersusun.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah proaktif menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula 1 Jan 2026 bagi mengurus pangkalan data identiti dan biometrik pelarian secara mandiri serta berdaulat.

“AMK memahami kegusaran sebahagian masyarakat tempatan berhubung kesan sosial ketiadaan kerangka pengurusan yang jelas selama ini, maka kegusaran ini amat wajar diselesaikan melalui dasar yang teratur, bukan diabaikan begitu sahaja,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata reformasi sebenar memerlukan keberanian membuat keputusan sukar demi melindungi kelangsungan ekonomi, keselamatan dan masa depan rakyat, tanpa mengetepikan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia.

“Langkah pragmatik Perdana Menteri pada hari ini adalah satu permulaan konkrit ke arah menoktahkan krisis yang telah lama membarah tanpa sebarang penyelesaian tuntas,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here