Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sesuatu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) selepas menunaikan solat jumaat ketika hadir meninjau keadaan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Jelasnya, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur, selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“UMNO juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Sri Mohd Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/09/18/najib-dapat-pengampunan-bersyarat-tahanan-rumah-bayar-denda-rm50-juta/

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keputusan baginda menerusi mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Katanya, perkembangan itu amat bermakna buat Najib dan keluarganya, termasuk seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan. 

“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda,” katanya.

Tambahnya, perkembangan terbaharu hari ini merupakan pendirian UMNO sejak awal namun dalam masa yang sama mengikuti saluran yang ditetapkan, selain terus menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dengan segala kerendahan hati, UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan ini.

“Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Datuk Seri Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.

“Daulat Tuanku,” katanya.

Sebagai rekod, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bermesyuarat pagi tadi memutuskan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here