PUTRAJAYA – Keputusan pengurangan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pelaksanaan tahanan rumah tidak menjejaskan pendirian kerajaan untuk terus mengambil tindakan terhadap kes rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip negara hukum kekal menjadi pegangan kerajaan dan semua kes rasuah perlu berjalan mengikut landasan yang ditetapkan.
Menurut beliau, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu adalah dalam bidang kuasa baginda seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.
“Saya selaku Perdana Menteri, tugas saya memberi nasihat tentang implikasi undang-undang, kestabilan negara, soal prinsip negara hukum dan juga mengikuti nasihat dan panduan yang ditulis lengkap dan panjang oleh Peguam Negara.
“Tapi akhirnya Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya hari ini.
Awal hari ini, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, di Istana Negara hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata keputusan berkenaan tidak bermakna kerajaan akan berkompromi terhadap usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak terjejas.
“Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata, semua kes termasuk kes membabitkan Najib yang masih berjalan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.
“Jadi saya nak tegaskan, semua kes-kes sama ada yang terlibat kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan, harus berjalan ikut landasan.
“Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah, negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan dan dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang salah laku atau salah guna kuasa bagi tujuan memperkayakan mana-mana pemimpin atau rakyat.
“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya. – MalaysiaGazette

















Prinsip negara hukum juga x menghalalkan peliwat atau kaki sondol belakang serta seorang yang kaki kencing.