KUALA LUMPUR – PAS melafazkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkembangan itu amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib, malah kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti bekas Perdana Menteri itu.
Pas turut menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin yang banyak membawa pembangunan kepada negara dan kemakmuran kepada rakyat.
“PAS melafaz setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di atas ampuni perkenan Baginda memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, PAS turut mendoakan agar Najib diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukuman di rumah.
“PAS yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang kali ke-64 pagi tadi memutuskan Najib dibenarkan untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Ia selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Najib dapat pengampunan bersyarat: Tahanan rumah, bayar denda RM50 juta
















