KUALA LUMPUR – CUEPACS Sabah menyeru kerajaan untuk menilai semula kadar elaun pedalaman yang diberikan kepada penjawat awam yang ditempatkan di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.
Pengerusinya, Ajulahin Japin berkata, kajian semula secara menyeluruh kadar tersebut perlu dilakukan kerana terdapat ketidakseragaman kadar elaun antara kementerian serta pendekatan kadar tetap di bawah SSPA.
Tambah beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai realiti geografi dan tahap kesusahan yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
“Sesetengah kawasan yang dahulunya dianggap pedalaman di Semenanjung kini telah berkembang menjadi pekan kecil dengan kemudahan asas dan akses jalan yang lebih baik.
“Sebaliknya, banyak kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak masih berdepan dengan cabaran yang hampir sama seperti 10 atau 20 tahun lalu, termasuk jalan yang sukar, jarak yang jauh, kemudahan terhad serta kebergantungan kepada pengangkutan udara dan bot,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh itu, CUEPACS Sabah berpandangan bahawa kadar elaun tidak seharusnya diseragamkan tanpa mengambil kira keadaan sebenar di lapangan.
Menurut beliau, kadar yang lebih munasabah dan bersesuaian perlu diberikan kepada petugas yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan soal meminta keistimewaan, tetapi soal keadilan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan warga kesihatan yang sanggup meninggalkan keluarga dan bekerja dalam keadaan mencabar demi memastikan rakyat di kawasan terpencil turut menerima perkhidmatan kesihatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















