KUALA LUMPUR – Individu yang terlibat dalam pertelingkahan di Stesen Labu Selasa lalu, yang video kejadian itu tular dalam media sosial bukan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Sebaliknya, KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, individu terbabit merupakan kakitangan syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen berkenaan.
Menurutnya, insiden itu berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang selepas tren terlanggar seekor babi di antara Batang Benar dan Labu pada kilometer 446.092, menyebabkan tren tersebut terkandas di laluan berkenaan.
Susulan kejadian itu, katanya, kira-kira 300 penumpang telah diturunkan di Stesen Labu bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
“Gangguan tersebut turut menyebabkan kelewatan sehingga 125 minit daripada jadual asal.
“Bagi membantu pergerakan penumpang di Stesen Labu, KTMB telah mengarahkan beberapa kakitangan dari Stesen Seremban ke lokasi bagi membantu melancarkan pengurusan penumpang,” katanya.
Tambahnya, KTMB memandang serius insiden pertelingkahan yang berlaku dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk tindakan atau tingkah laku yang tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang.
Sehubungan itu, katanya, pihak kontraktor lantikan telah memaklumkan tindakan serta-merta telah diambil terhadap kakitangan tersebut dengan menggantung tugas individu berkenaan berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan.
Tambahnya, tindakan selanjutnya juga akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.
“KTMB akan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor bagi memastikan perkara itu ditangani dengan sewajarnya serta memastikan semua kakitangan yang bertugas di premis dan kemudahan KTMB sentiasa mematuhi tatacara kerja serta standard perkhidmatan yang ditetapkan.
“KTMB kesal atas kesulitan yang dialami oleh penumpang susulan gangguan perkhidmatan tersebut dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua penumpang yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial kekecohan yang berlaku di Stesen KTM Komuter Labu selepas video itu dimuat naik menerusi platform media sosial Threads. – MalaysiaGazette
















