Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyambut penuh kesyukuran perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, keputusan itu amat besar maknanya kepada Najib dan keluarganya serta seluruh keluarga besar BN yang sentiasa mendoakan agar segala urusan beliau dipermudahkan.

“Keputusan ini amat besar maknanya kepada Datuk Seri Najib dan keluarga beliau, malah kepada seluruh keluarga besar Barisan Nasional yang sentiasa menitipkan doa dan mengharapkan agar segala urusan beliau diberi kelancaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.

Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, BN berpendirian proses permohonan berkaitan perkara itu telah disampaikan melalui saluran yang sah dengan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Barisan Nasional berpendirian bahawa proses permohonan berkaitan perkara ini telah disampaikan dengan penuh tertib, melalui saluran yang sah, dengan menghormati institusi Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, BN menyambut keputusan berkenaan dengan penuh kesyukuran, ketenangan dan adab, selain menghormati segala syarat serta proses yang ditetapkan.

Keputusan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.

Dalam pada itu, Zambry berkata, BN akan terus berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang.

Katanya, prinsip berkenaan merupakan tunjang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here