Gambar ikan piranha kedua ditemukan di Empangan Klau ihsan Facebook Jejak Air Tawar.

KUANTAN – Seekor lagi ikan dari spesis Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) didakwa ditemukan di Sungai Klau, Raub baru-baru ini.

Menurut perkongsian hantaran di laman Facebook oleh pengguna akaun ‘Jejak Air Tawar’, ikan kedua jenis itu turut ditemukan pemancing di kawasan berhampiran Empangan Klau.

“Untuk penemuan kali kedua ini, saya dapat menghubungi terus dengan penemu spesimen yang telah menyerahkan beberapa rakaman gambar serta video untuk rujukan.

“Setelah diteliti, ia adalah spesis yang sama dengan spesimen pertama yang ditemui bulan lalu. Jadi, berdasarkan pengalaman saya dalam isu ikan pendatang, ia telah dilepaskan dalam satu kumpulan, cuma tidak tahu berapa ekor,” katanya.

Tambahnya, tidak dapat disahkan jika populasi ikan itu telah berkembang biak kerana ikan seperti Red-bellied Pacu setakat ini tiada yang dikesan berjaya membiak walaupun invasif.

Manakala Red-bellied Piranha pula yang berada dalam keluarga yang sama (Serrasalmidae) diketahui lebih sensitif berbanding Red-bellied Pacu dan perlukan parameter air dan habitat yang benar-benar sesuai.

“Tapi disebabkan kedua-duanya di bawah genus yang berbeza (Pygocentrus vs Piaractus) dan berevolusi dengan mekanisme yang sedikit berbeza, saya tidak menolak jika Red-bellied Piranha mampu membiak di Sungai Klau, kerana dari segi iklim di negara asalnya tidak banyak berbeza, cuma ekosistem sungai berbeza,” katanya lagi.

Sebelum ini, media sosial gempar dengan dakwaan kewujudan ikan piranha di Empangan Klau selepas hantaran klip video memaparkan ikan itu didakwa memakan seekor buaya sekali gus mencetuskan kebimbangan warganet dan komuniti setempat.

Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati, ikan dipercayai piranha itu pertama kali ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain dilaporkan berkata, ikan disyaki red-bellied piranha (pygocentrus nattereri) itu disahkan memiliki ciri-ciri morfologi konsisten dengan genus Pygocentrusiaitu kumpulan ikan piranha.

Bagaimanapun pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesis tidak dapat dibuat kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut kerana ikan tersebut dilaporkan mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here