Tan Sri S.A. Vigneswaran.

 

KUALA LUMPUR – Jangan jadikan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan politik hanya kerana ia tidak memenuhi naratif pihak tertentu.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung baki hukuman Najib perlu dihormati semua pihak.

“Pengampunan diraja sentiasa menjadi sebahagian daripada sistem kita.

“Sebagai sebuah negara Komanwel, sistem kita memperuntukkan pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya malam ini.

Vigneswaran menjelaskan, selepas mahkamah tertinggi membuat keputusan, semua pihak berwajib menjalankan peranan masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mempertimbangkan permohonan pengampunan berdasarkan keadaan setiap kes serta panduan yang berkaitan.

Dalam kes Najib, beliau berpandangan bekas Perdana Menteri itu bukan pesalah tegar atau pencuri biasa, sebaliknya seorang tokoh yang telah mengabdikan kira-kira 50 tahun hidupnya kepada masyarakat dan negara.

“Ini tidak bermakna semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar kelonggaran diberikan. Tetapi Najib mempunyai hak untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Secara peribadi, Vigneswaran mengakui beliau lebih mengharapkan pengampunan penuh diberikan kepada Najib berdasarkan tempoh khidmatnya kepada negara.

Namun, beliau menegaskan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu diterima dan dihormati tanpa dipersoalkan atas dasar kepentingan politik.

“Ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Baginda tentunya telah mempertimbangkan sumbangan beliau.

“Kesilapan, kecuaian dan kelemahan adalah sebahagian daripada sifat manusia.

“Dalam menimbang semua perkara itu, kita perlu menghormati dan menerima keputusan yang telah dibuat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat beberapa kes terdahulu yang menyaksikan pengampunan diberikan kepada individu tertentu, termasuk membabitkan pemerintah negeri dan pemimpin pembangkang.

Sehubungan itu, Vigneswaran menyeru semua pihak menghormati Perlembagaan tanpa mengira sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan individu yang menerima pengampunan.

“Saya berharap keputusan Yang di-Pertuan Agong ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak hanya kerana ia tidak memenuhi kepentingan politik mereka,” katanya.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 pada Jumaat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi pengampunan bersyarat itu, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Ini merupakan kali kedua Lembaga Pengampunan membuat keputusan berkaitan hukuman Najib dalam kes SRC International.

Pada 2024, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan SRC International. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here