GEORGE TOWN – Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sulung penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan pada 26 dan 27 September ini.
Penganjuran selama dua hari itu dianjurkan Monie, jenama di bawah Foodie Media Berhad, bersama Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
KHPM 2026 menampilkan pelbagai pengisian berkaitan dunia perniagaan termasuk perbincangan panel, sesi perkongsian bersama usahawan, sesi pitching, bengkel dan networking.
Program itu turut menghimpunkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri serta pemain perniagaan daripada pelbagai sektor.
Antara agensi dan organisasi yang terlibat termasuk Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, BPHV, UDA Holdings, SME Corp. Malaysia, BDHA dan BPES.
Sepanjang dua hari penganjuran, turut diadakan perbincangan panel selama 45 minit bersama wakil persatuan dan pakar industri serta sesi perkongsian individu selama 30 minit yang menampilkan usahawan daripada pelbagai latar sektor.
Antara bidang yang diketengahkan ialah makanan dan minuman (F&B), perniagaan digital, kecantikan serta teknologi.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi fireside bersama pengasas syarikat sebelum diakhiri dengan konsert penutup.
Turut diadakan cabutan bertuah, majlis perasmian dan sesi lawatan sepanjang berlangsungnya karnival.
Semua sesi akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette
















