JEREBU bukan lagi fenomena asing bagi rakyat Malaysia. Apabila kualiti udara mula merosot, langit yang kebiasaannya cerah bertukar kelabu, jarak penglihatan semakin berkurangan dan masyarakat mula mengehadkan aktiviti di luar bangunan.
Lebih membimbangkan ialah kehadiran zarah terampai halus seperti PM2.5 dan PM10 yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah berkaitan sistem pernafasan.
Dalam keadaan tertentu, isu jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah turut mempengaruhi aktiviti pendidikan, ekonomi, pengangkutan dan kehidupan seharian masyarakat.
Perbincangan mengenai jerebu selama ini banyak tertumpu kepada punca pencemaran seperti kebakaran hutan dan tanah gambut, pembakaran terbuka, pelepasan industri, kenderaan serta pencemaran udara rentas sempadan.
Semua faktor ini sememangnya perlu ditangani melalui penguatkuasaan, pemantauan, pengurangan pelepasan dan kerjasama antara negara. Penyelesaian terbaik tetap bermula dengan mengawal pencemaran pada sumbernya. Namun, dalam masa yang sama, kita juga perlu melihat isu ini daripada perspektif yang lebih luas.
Sekiranya episod jerebu masih boleh berlaku dari semasa ke semasa, adakah bandar dan kawasan binaan di Malaysia telah direka supaya lebih bersedia menghadapinya?
Antara pendekatan yang mempunyai potensi untuk diterokai ialah penggunaan zon penampan tumbuhan atau vegetation buffer zone. Konsep ini bukanlah bermaksud menanam pokok sebanyak mungkin dengan harapan masalah jerebu akan selesai. Sebaliknya, tumbuhan boleh dirancang dan disusun secara strategik sebagai sebahagian daripada infrastruktur hijau yang membantu mengurangkan pendedahan manusia kepada pencemaran udara pada skala setempat.
Pendekatan ini selari dengan konsep Nature-Based Solutions, iaitu penggunaan sistem dan proses semula jadi bagi membantu menangani cabaran alam sekitar dan meningkatkan daya tahan kawasan bandar.
Selama ini, pokok dan tumbuhan dalam pembangunan sering dikaitkan dengan landskap dan keindahan. Pokok ditanam untuk memberikan teduhan, mengurangkan suhu persekitaran serta menjadikan sesuatu kawasan lebih menarik. Hakikatnya, fungsi tumbuhan jauh lebih besar.
Permukaan daun, ranting dan struktur tumbuhan boleh berinteraksi dengan zarah yang berada dalam udara. Sebahagian zarah boleh mendap atau melekat pada permukaan tumbuhan sebelum dipindahkan melalui proses semula jadi seperti hujan. Dalam konteks tertentu, tumbuhan boleh berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem penapisan semula jadi persekitaran.
Bayangkan sebuah sekolah yang terletak berhampiran jalan raya yang sibuk. Antara jalan tersebut dengan bangunan sekolah diwujudkan satu zon hijau yang terdiri daripada gabungan pokok, pokok renek dan tumbuhan pada beberapa lapisan ketinggian. Zon ini bukan sahaja memisahkan secara fizikal kawasan sekolah daripada jalan raya, malah berpotensi mempengaruhi pergerakan udara serta penyebaran sebahagian bahan pencemar sebelum sampai ke kawasan yang digunakan oleh pelajar. Konsep sama boleh dipertimbangkan di hospital, kawasan perumahan, kampus universiti, taman permainan, kemudahan awam dan kawasan yang bersempadan dengan aktiviti industri.
Namun, keberkesanan zon penampan tumbuhan tidak semudah menanam deretan pokok. Jenis tumbuhan, bentuk dan tekstur daun, ketinggian, kepadatan kanopi, jarak antara tumbuhan, ketebalan zon hijau, arah angin dan susun atur bangunan boleh mempengaruhi prestasinya.
Pokok yang terlalu padat juga tidak semestinya memberikan hasil terbaik dalam semua keadaan. Dalam persekitaran bandar yang mempunyai bangunan rapat, kanopi yang terlalu padat berpotensi menghalang pengudaraan dan menyebabkan pencemar terperangkap di sesuatu kawasan. Oleh itu, matlamat sebenar bukan sekadar untuk menambah bilangan pokok, tetapi mereka bentuk zon hijau yang sesuai berdasarkan keadaan persekitaran setempat.
Dalam isu jerebu, perkara ini perlu dibincangkan secara realistik. Zon penampan tumbuhan tidak boleh menghentikan jerebu berskala besar, khususnya apabila pencemaran dibawa oleh pergerakan atmosfera dari kawasan yang jauh. Deretan pokok di sesebuah bandar tidak boleh menggantikan usaha mencegah kebakaran hutan, menghentikan pembakaran terbuka atau mengawal pelepasan pencemaran. Sebaliknya, potensi sebenar zon penampan tumbuhan adalah sebagai salah satu bentuk mitigasi untuk membantu mengurangkan pendedahan masyarakat kepada pencemaran di lokasi tertentu.
Perbezaan ini penting. Kita bukan bercakap mengenai penggunaan pokok untuk “menghapuskan jerebu”, tetapi bagaimana tumbuhan boleh menjadi sebahagian daripada strategi membina persekitaran yang lebih berdaya tahan ketika berhadapan pencemaran udara.
Sekiranya pencemaran tidak dapat dielakkan sepenuhnya ketika sesuatu episod jerebu berlaku, kita perlu bertanya bagaimana kawasan sensitif seperti sekolah, hospital, pusat jagaan warga emas dan kawasan kediaman boleh direka supaya pendedahan penghuninya dapat diminimumkan.
Malaysia juga memerlukan lebih banyak penyelidikan tempatan dalam bidang ini. Walaupun terdapat kajian antarabangsa mengenai peranan tumbuhan dalam mempengaruhi kualiti udara, keadaan iklim tropika Malaysia, spesies tumbuhan tempatan, kelembapan, taburan hujan, bentuk pembangunan dan corak pencemaran adalah berbeza. Model yang berkesan di negara beriklim sederhana tidak semestinya boleh digunakan secara terus dalam persekitaran Malaysia.
Penyelidikan tempatan boleh mengenal pasti jenis tumbuhan yang sesuai, ciri daun yang berpotensi memerangkap zarah, kepadatan tanaman yang optimum dan kelebaran zon penampan yang diperlukan. Keberkesanannya juga boleh diukur secara saintifik. Sebagai contoh, sensor kualiti udara boleh ditempatkan sebelum zon tumbuhan, di dalam zon tersebut dan selepas zon tumbuhan. Bacaan PM2.5 dan PM10 kemudian boleh dibandingkan bersama-sama data suhu, kelembapan, kelajuan serta arah angin. Dengan pendekatan ini, kita boleh mengetahui sama ada berlaku pengurangan kepekatan zarah, berapa besar pengurangannya dan dalam keadaan persekitaran bagaimana zon tersebut memberikan prestasi terbaik.
Teknologi moden turut membuka ruang yang lebih luas untuk kajian seperti ini. Sensor Internet of Things atau IoT membolehkan kualiti udara dipantau secara masa nyata. Sistem Maklumat Geografi boleh digunakan untuk memetakan kawasan berisiko tinggi, manakala simulasi komputer boleh membantu memahami bagaimana angin dan pencemar bergerak di antara bangunan dan tumbuhan. Ini menunjukkan bahawa pendekatan berasaskan alam semula jadi tidak bermaksud kita meninggalkan teknologi. Sebaliknya, gabungan alam semula jadi, teknologi dan reka bentuk persekitaran boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih pintar.
Jika keberkesanannya dapat dibuktikan melalui kajian tempatan, Malaysia boleh mempertimbangkan pembangunan garis panduan khusus mengenai zon penampan tumbuhan untuk mitigasi pencemaran udara. Garis panduan tersebut boleh memberikan cadangan
mengenai jenis tumbuhan, ketebalan zon, susunan tanaman, jarak daripada jalan raya atau sumber pencemaran serta kesesuaiannya berdasarkan jenis pembangunan. Pihak berkuasa tempatan, pemaju dan perancang bandar kemudiannya mempunyai asas yang lebih jelas untuk memasukkan elemen tersebut dalam pembangunan baharu atau menaik taraf kawasan sedia ada.
Pendekatan ini juga boleh mengubah cara kita melihat landskap bandar. Pokok tidak seharusnya menjadi elemen yang difikirkan hanya selepas bangunan, jalan dan tempat letak kenderaan siap dirancang. Elemen hijau perlu dipertimbangkan sejak peringkat awal pembangunan. Sebuah sekolah misalnya boleh mempunyai zon hijau yang direka berdasarkan kedudukan jalan utama dan arah angin. Hospital boleh mempunyai benteng vegetasi antara kawasan pesakit dengan kawasan trafik tinggi, manakala pembangunan perumahan berhampiran lebuh raya boleh menyediakan zon penampan berlapis berdasarkan penilaian risiko pencemaran udara.
Lebih menarik, manfaat infrastruktur hijau tidak terhad kepada isu jerebu. Tumbuhan juga membantu menyediakan teduhan, meningkatkan keselesaan terma, menyokong biodiversiti dan mengurangkan kesan pulau haba bandar. Ini bermakna pelaburan dalam zon penampan tumbuhan berpotensi memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar dalam jangka panjang.
Jerebu ialah masalah kompleks yang tidak mempunyai satu penyelesaian tunggal. Penguatkuasaan undang-undang, pencegahan pembakaran terbuka, pengurusan hutan dan tanah gambut, pengurangan pelepasan serta kerjasama serantau perlu terus menjadi keutamaan.
Namun, pada masa yang sama, Malaysia perlu mula memikirkan bagaimana bandar, bangunan dan ruang awam boleh direka supaya lebih berdaya tahan terhadap pencemaran udara. Sudah tiba masanya kita melihat pokok bukan sekadar sebagai penghias landskap. Dalam persekitaran yang dirancang dengan baik, tumbuhan berpotensi menjadi sebahagian daripada sistem perlindungan alam sekitar kita. Persoalannya bukan lagi sekadar berapa banyak pokok yang perlu ditanam, tetapi apakah tumbuhan yang sesuai, di mana ia perlu ditanam, berapa luas zon yang diperlukan dan bagaimana ia perlu disusun untuk memberikan manfaat maksimum kepada manusia.
Jika persoalan tersebut dapat dijawab melalui penyelidikan tempatan yang sistematik, tidak mustahil suatu hari nanti zon penampan tumbuhan menjadi sebahagian daripada reka bentuk standard sekolah, hospital, kampus, kawasan perumahan dan bandar di Malaysia. Kita mungkin tidak mampu menghentikan jerebu hanya dengan menanam pokok, tetapi kita boleh merancang persekitaran yang lebih bersedia untuk mengurangkan kesannya. Dalam usaha membina Malaysia yang lebih hijau dan berdaya tahan, benteng pertama kita mungkin bukan hanya dibina daripada konkrit dan keluli, tetapi turut tumbuh daripada tanah. – MalaysiaGazette

Oleh: Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim
Pensyarah Kanan FPTP UTHM.
















