WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyambut Presiden China Xi Jinping di Pangkalan Bersama Andrews pada Rabu, ketika pemimpin China itu memulakan lawatan negara selama tiga hari ke Washington.
Lawatan itu menandakan bermulanya rundingan yang memberi tumpuan kepada hubungan dua hala serta pelbagai isu ekonomi dan teknologi.
Menurut Anadolu Ajansi, pesawat tentera AS melakukan penerbangan lintas di ruang udara pangkalan berkenaan ketika Xi disambut Trump.
Trump dijadual mengadakan sambutan rasmi untuk Xi dan Peng Liyuan di Rumah Putih pada Khamis, sebelum perbarisan ketenteraan di Rose Garden dan pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin.
Xi dan Peng dijadual menghadiri jamuan negara yang dihoskan Trump dan Melania Trump di East Room pada petang Khamis.
Kedua-dua pasangan itu dijadual bertemu sekali lagi di Rumah Putih pada Jumaat sebelum Xi berlepas pulang.
Trump pada Jumaat berkata pertemuannya dengan Xi akan merangkumi pelbagai perjanjian dan menjangkakan mereka akan mengadakan “pertemuan yang sangat baik”.
Beliau turut berkata AS dan China “mempunyai hubungan yang sangat baik”, sambil merujuk kepada tarif yang dikenakan terhadap barangan China.
Trump berkata kadar tarif sebelum ini pernah mencecah 145 peratus sebelum dikurangkan, sambil menyifatkan kadar berkenaan sebagai “benar-benar memberi kesan buruk kepada mereka”.
Perdagangan, mineral nadir bumi dan kecerdasan buatan dijangka antara isu yang dibincangkan, menurut pegawai AS.
Beberapa tokoh perniagaan terkemuka AS juga dijangka menghadiri jamuan negara pada Khamis, termasuk Jeff Bezos, Elon Musk, Sundar Pichai, Michael Dell, Jensen Huang, Sam Altman, Jane Fraser dan Tim Cook, menurut seorang pegawai kanan AS.
Lawatan Xi kali ini merupakan lawatan negara pertamanya ke Washington dalam tempoh lebih sedekad. – BERNAMA-ANADOLU
















