Foto Instagram Khaled Nordin.

SESUATU hasrat besar negara mesti disokong dengan dasar yang baik. Semasa negara dalam proses menyusun semula ekonomi masyarakat dan membasmi kemiskinan sekitar tahun 1970an, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah diperkenalkan.

Begitu juga kepada negara merangka kemajuan menjelang 2020 (Wawasan 2020), Dasar Pembangunan Nasional telah diperkenal. Tujuannya adalah memastikan apa-apa sahaja agenda yang hendak dilaksanakan mempunyai asas, kerangka pelaksanaan serta garis masa dan hala tuju yang jelas.

Namun, mempunyai dasar yang baik sahaja adalah sangat tidak mencukupi. Ini kerana, dasar tanpa mekanisme pemantauan atau penilaian yang kukuh tidak akan berupaya memberikan hasil yang diharapkan.

Apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) yang bersidang buat kali pertama pada 6 Februari 2025, perkara pertama yang pastinya muncul dalam pemikiran semua pihak adalah fungsi dan matlamat majlis tersebut.

Berdasarkan penjelasan Menteri Pertahanan, MPSTP merupakan entiti yang akan menasihati dan memantau hala tuju penyelidikan sains dan teknologi pertahanan di negara kita.

Dalam sidang sulungnya tahun lalu, MPSTP meletakkan asas penyelarasan antara STRIDE, para pemain industri tempatan, pakar akademik, penyelidik dan penganalisis pertahanan serta pelbagai agensi yang terlibat dalam penyelidikan serta sains pertahanan. Dan bagi memastikan MPSTP bergerak mengikut keperluan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil daripada ATM dan MINDEF akan turut terlibat dalam menggerakkannya.

Pengenalan MPSTP pastinya menjadi satu penanda aras operasi yang jelas dan positif. Ujian keberkesanannya yang paling utama sudah pastilah sejauh mana ia mampu menggerakkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). DIPN yang dilancarkan pada tahun ini merupakan dokumen dasar yang melakar hala tuju jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh, berdaya saing dan mampan.

Seperti dasar-dasar lain, DIPN pada hakikatnya tidak lebih daripada sekadar satu dokumen di atas kertas. Yang menjadi pemisah antara hasrat dan realiti adalah pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat kepada semua. Bertitik tolak daripada kesedaran inilah, entiti seperti MPSTP mesti menjadi elemen penggerak, pemantau dan pengawal selia atau ‘guru disiplin’ yang tegas.

Foto Instagram Khaled Nordin.

 Mandat strategik dan reka bentuk tadbir urus

Kehadiran entiti seperti MPSTP bukan sahaja membantu menukar pemilihan teknologi daripada senarai keinginan kepada set keupayaan yang benar-benar menyokong misi ATM. Malah, ia harus memberikan pencerahan serta khidmat nasihat yang boleh dipelajari dan diterima pakai sebagai amalan standard oleh pihak industri.

Khususnya apabila DIPN dalam RMK13 menyediakan landasan industri melalui sasaran kandungan tempatan, pengukuhan vendor dan konsolidasi rantaian bekalan agar teknologi terpilih boleh dihasilkan, diintegrasi serta diselenggara dalam negara.

Dari sudut pelaksanaan, MPSTP mesti berfungsi sebagai lembaga portfolio yang mengekalkan disiplin keputusan sepanjang kitaran projek.Ia tida boleh sekadar menjadi pihak yang mengiyakan segala pelan dan aktiviti pemain industri pertahanan tempatan tanpa memberikan sudut pandangan yang progresif dan relevan. Tidak boleh sekadar menjadi elemen kosmetik atau ‘rubber stamp’ yang hanya bergerak mengikut arus kehendak dan selera para pemain industri pertahanan tempatan.

Apatah lagi dunia hari ini menuntut agar ekosistem pertahanan dan para pembuat keputusan teknologi bergerak seiring. Adalah tidak keterlaluan untuk masyarakat menuntut akauntabiliti serta peranan yang berkesan di pihak MPSTP.

Mereka mesti menjadi guru disiplin yang berupaya memperkemas hubungan antara pelbagai pihak seperti STRIDE, universiti serta industri dalam satu rantaian inovasi yang lebih tersusun, strategik dan membuahkan hasil. DIPN tidak akan memberikan impak yang disasarkan sekiranya pelaksanaannya tidak dikawal dan dipastikan berada di landasan yang betul.

Merancak Kerjasama Bersama Industri

Baru-baru ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan tentang usaha memuktamadkan Joint Declaration of Intent (JDOI) mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Jerman yang turut merangkumi kolaborasi industri selari yang dengan agenda Dasar Industri Pertahanan Negara serta sokongan Jerman melalui inisiatif keselamatan Enable and Enhance.

Kerjasama hasil rangka lawatan tersebut melibatkan kunjungan industri ke syarikat teknologi pertahanan Rohde & Schwarz (R&S) di Munich, sebuah peneraju global dalam teknologi komunikasi pertahanan dan peperangan elektronik.

Sekali pun secara asasnya usaha di pihak MINDEF dan Menteri Pertahanan ini adalah baik, ia masih sekadar di peringkat penerokaan serta penzahiran kesediaan kerjasama. Menjadi tugas dan tanggungjawab pihak industri untuk menyambut segala usaha tersebut dan menterjemahkannya menjadi hasil yang bermanfaat kepada ATM dan negara.

Dalam hal seperti inilah MPSTP mesti hadir sebagai pihak yang memandu keberhasilan. Malah, MPSTP mesti menjadi penggiat aktif dalam memberi pandangan serta sarana agar berlakunya pelbagai penghasilan modal insan pertahanan melalui kerjasama tersusun dengan pelbagai pihak khususnya para pemain industri.

Berbekalkan mandat yang jelas,  MPSTP tidak boleh sekadar menjadi satu lagi majlis yang hanya bersidang dan membuat kenyataan rasmi. Sudah tiba masanya ‘guru disiplin’ yang garang dan tegas memegang rotan memastikan industri pertahanan tempatan bergerak dengan baik dan produktif.

Negara tidak boleh terus menerus bergantung kepada pembekal luar dan hanya menjadi pengguna tanpa keupayaan dan kepakaran inovatif sendiri. – MalaysiaGazette

Oleh: Nur Farhani Samasu

Penulis merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarawak. 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here