Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR – Pas tidak akan memberikan kerusi yang dimenanginya kepada UMNO di negeri lain sekiranya parti itu tidak bersedia memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di Melaka.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu sedang berjalan, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mendahului keputusan pimpinan parti.

“Perundingan sedang berjalan. Nampak macam `ding dong, ding dong’ juga. Kalau mereka tak bagi kerusi kita di Melaka, kita pun tak bagi kerusi kita di tempat lain.

“Kalau mereka bagi kerusi mereka di Melaka, kita pun boleh bagi kerusi kita di tempat lain. Sebanyak mana hangpa berkorban, kami juga akan berkorban sebanyak itu. Simple saja,” katanya memetik laporan Kedah Online di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Parit Buntar di Titi Serong, Perak semalam.

DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Muhammad Sanusi berkata, dalam rundingan berkenaan, Pas tidak mahu mengambil pendekatan yang boleh merugikan parti itu atau hanya satu pihak memperoleh keuntungan manakala kerugian di pihak lain.

“Tak mahu rugikan parti. Ibarat berniaga, tak untung tak apa, jangan rugi. Makan modal kita tak mahu.

“Tempat mereka, kita hormat mereka. Tempat kita, mereka hormat kita,” katanya.

Menurutnya, PRU-16 bakal menjadi ‘ibu segala pilihan raya’ dan Pas perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kawasan dimenangi selain memperluaskan pengaruhnya di negeri-negeri lain.

Muhammad Sanusi berkata, Pas kini menguasai negeri-negeri di utara dan Pantai Timur termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain menyasarkan memperluaskan pengaruh ke Pahang, Selangor, Perak, Sarawak selain Melaka.

“Kita boleh cuba juga di Pulau Pinang. Bukan semua orang Cina itu DAP. Yang meluat dengan DAP berlambak. Tak mustahil Pulau Pinang pun DAP boleh jatuh.

“Pakat-pakat doa, pakat-pakat tolong. Kita ambil semua negeri di Semenanjung. Lepas itu kita buat cara baharu. Ikutlah cara Pas,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menegaskan keperluan bekerjasama dengan UMNO di beberapa negeri, termasuk Perak bagi menggabungkan kekuatan politik pembangkang menjelang PRU-16.

“Mahu tak mahu, suka tak suka, kena pakat dengan UMNO termasuk di Perak. Saya harap kekalkan kemenangan Pas di Perak.

“Ada negeri yang kita dapat setelah berpakat dengan UMNO. Ada negeri yang kita dah ada dalam tangan walaupun tak pakat dengan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here