SEGAMAT – Seramai 45 penggiat seni kemplingan daripada Persatuan Warisan Kempling Daerah Tangkak Johor (Warisan Kempling Tangkak) berjaya menamatkan Program Perantisan Seni Muzik Kemplingan 2026 yang bermula Jun lalu.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah (MKD) Tangkak dan Warisan Kempling Tangkak itu merupakan satu usaha berterusan bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian seni muzik tersebut khususnya untuk melahirkan pelapis baharu.
Pengerusi Warisan Kempling Tangkak, Ayop Bani berkata, kesenian kemplingan yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa satu ketika dahulu semakin dilupakan oleh generasi baharu.

Katanya, program perantisan yang dipelopori oleh JKKN Johor setelah tiga tahun dilaksanakan itu dapat memelihara, memperkasa dan melahirkan pelapis seni muzik tradisi.
“Usaha JKKN Johor dan MKD Tangkak membuahkan hasil apabila sebuah persatuan dapat ditubuhkan bagi menggabungkan penggiat seni muzik kemplingan daripada beberapa buah kampung dalam daerah Tangkak.
“Kami akan terus memartabatkan kesenian ini dan menjadikan ia salah satu identiti kebudayaan daerah Tangkak dan mahu generasi muda mewarisi seni muzik ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Perantisan Seni Muzik Kemplingan 2026 sempena Festival Kota Selatan di Dataran Segamat, semalam.
Festival Kota Selatan berlangsung dari 24 hingga 27 September dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan dan pameran kebudayaan serta pelbagai aktiviti interaktif.

Dalam majlis itu, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta perantisan kemplingan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JKKN (Sektor Kebudayaan dan Kesenian), Mohd Radzi Omar; Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jasmi Rasit; Pengarah JKKN Johor, Abd Rashid Abdullah dan wakil MKD Tangkak, Zarina Hasni.
Sempena majlis apresiasi itu, sebanyak enam persembahan istimewa dipersembahkan oleh peserta termasuk lagu tradisional kemplingan manakala lagu kontemporari pula diiringi dengan penari zapin.
Persembahan itu memperlihatkan hasil pembelajaran dan penguasaan mereka sepanjang mengikuti program perantisan.
Antara kejayaan yang cukup bermakna sepanjang pelaksanaan program perantisan ialah perkembangan komuniti penggiat seni kemplingan berkembang menjadi sebuah kumpulan persembahan yang lebih berstruktur.
Warisan Kempling Tangkak turut berjaya melahirkan bakat baharu kumpulan pemain muzik kemplingan daripada golongan wanita kerana secara tradisinya persembahan itu didominasi pemuzik lelaki.

Persatuan kini giat menjalani latihan bagi memantapkan mutu persembahan di samping melatih ahli-ahli baharu untuk mengekalkan warisan seni itu yang mula dikenali semula.
Berakhirnya program perantisan itu bukan noktah kepada perjalanan muzik kemplingan sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha komuniti dan generasi pelapis untuk terus menghidupkan serta mewariskan seni tradisi ini kepada generasi akan datang.
JKKN Johor berharap semoga muzik kemplingan, salah satu kesenian masyarakat Jawa di negeri itu terus bergema dan warisannya tetap terpelihara serta kekal sepanjang zaman.- MalaysiaGazette
















