KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menggambarkan Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang melalui hampir seabad perjalanan negara, susulan pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Allahyarham meninggal dunia pada usia 100 tahun selepas puluhan tahun berdiri di samping suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, Allahyarham bukan sekadar isteri kepada Perdana Menteri (ketika itu), malah seorang doktor, ibu dan seorang wanita yang mempunyai khidmat serta sumbangannya sendiri kepada masyarakat dan negara.
“Puluhan tahun beliau berdiri di sisi Tun Dr Mahathir, melalui zaman yang mudah dan sukar, ketika dipuji mahupun dicerca. Tidak banyak berbicara, tetapi sentiasa ada.
“Kepada Tun Dr Mahathir, anak-anak serta seluruh keluarga, salam takziah atas kehilangan yang amat besar ini. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang begitu berat.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, merahmati rohnya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini pada usia 100 tahun.
Allahyarham dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 di Putrajaya selepas solat Asar.
Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Selangor pada 1.30 tengah hari bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir. – MalaysiaGazette
















