SERI KEMBANGAN – Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali banyak bercerita mengenai tuhan, alam baqa dan Padang Mahsyar sebelum pemergiannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu diceritakan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis selepas mengunjungi kediaman Dr Siti Hasmah Isnin minggu lalu.
“Diceritakan oleh isteri saya, beliau (Dr Siti Hasmah) banyak bercerita tentang tuhan. Beliau banyak bercerita tentang alam baqa. Beliau banyak bercerita tentang Padang Mahsyar, seolah-olah beliau telah mengetahui yang beliau akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di The Mines Residence di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan isterinya dengan Dr Siti Hasmah semasa hidupnya itu turut diselitkan dengan nostalgia ketika kedua-duanya menjadi anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).
“Sangat besar kerana allahyarham menjadi Yang di-Pertua selama 22 tahun dan tentulah kami merasakan kehilangan amat-amat sangat. kerana allahyarham telah banyak menabur jasa, terutamanya di kalangan wanita dan ahli-ahli BAKTI,” katanya.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar seluruh keluarga allahyarham diberikan kekuatan serta roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – MalaysiaGazette
















