Tangkap layar video yang tular memaparkan suspek memandu secara berbahaya sebelum melanggar kerusi dan meja di sebuah warung bubur di Taman Sentosa, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik mendakwa diserang seorang lelaki warga asing dengan sebatang paip besi ketika makan di sebuah warung bubur di Taman Sentosa di sini hari ini.

Suspek lelaki berkenaan sebelum itu memandu sebuah kereta warna putih dengan nombor pendaftaran Singapura di kawasan warung bubur berkenaan.

Video berdurasi dua minit berkenaan kejadian itu tular yang memaparkan sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura memandu secara berbahaya dipercayai mabuk sebelum melanggar meja dan kerusi makan di lokasi kejadian.

Beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba menahan kereta berkenaan sebelum suspek beredar pergi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.27 pagi daripada seorang lelaki tempatan, 41, tahun yang bekerja sebagai juruteknik.

Katanya, berdasarkan laporan dia didatangi suspek yang dipercayai warga asing sebelum suspek turun dari sebuah kereta sambil membawa sebatang paip besi.

“Suspek kemudian menghayunkan paip besi berkenaan ke arah pengadu, namun pengadu sempat mengelak.

“Suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk kemudian masuk semula ke dalam kereta selepas melihat orang ramai datang untuk meleraikan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul Hisham berkata, suspek kemudiannya memandu secara gopoh sebelum melanggar kerusi dan meja di warung bubur berkenaan, sebelum beredar dari tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Tambahnya nya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here