Seorang guru agama wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, pada 2024.

IPOH – Seorang guru agama wanita di sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh, Haslina Abu Bakar, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi maksud seksual di dalam bilik di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kinta antara November dan Disember 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri.

Nor Arfahanim Azureen memohon supaya mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Amira Sofea juga memaklumkan suami anak guamnya itu mempunyai masalah kesihatan serta tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

“Selain itu, anak guam saya turut bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here