GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penangkapan ikan yang disyaki melanggar syarat sah lesen.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan vesel berkenaan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan tiga kru termasuk seorang tekong, semuanya warga tempatan berusia antara 42 hingga 65 tahun.
“Bot terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan beroperasi bagi tujuan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kesemua kru bersama bot berkenaan kemudian ditahan dan diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan, di samping melindungi kelestarian sumber marin serta memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999,” katanya. – MalaysiaGazette
















