Dalam persaingan merebut pelaburan yang semakin sengit, persoalan yang perlu dijawab Perak bukan lagi sekadar bagaimana menarik pelabur, sebaliknya mengapa negeri ini perlu dipilih berbanding destinasi lain.
Ini kerana, pelabur hari ini mempunyai pelbagai pilihan destinasi pelaburan dan ia bukan sahaja antara negeri dalam Malaysia, malah di rantau ini.
Keadaan itu menuntut Perak menawarkan kelebihan yang benar-benar meyakinkan, bukan sekadar untuk menarik kemasukan modal, tetapi memastikan negeri ini kekal menjadi pilihan bagi pelabur untuk membina, mengembangkan dan memperluas operasi mereka.
Maka tidak hairanlah apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melontarkan pandangan beliau bahawa terdapat dua perkara yang perlu di jawab dengan jelas mengenai pelaburan di Perak iaitu ‘mengapa Perak, dan mengapa sekarang’.
Persoalan itu menjadi semakin relevan ketika persaingan mendapatkan pelaburan semakin sengit, khususnya apabila negeri-negeri lain turut menawarkan kawasan industri, kemudahan infrastruktur, tenaga kerja, insentif dan akses kepada pasaran.
Malah, persaingan tersebut tidak lagi terbatas kepada sempadan Malaysia apabila pelabur turut mempunyai pilihan untuk menilai destinasi lain di rantau Asia Tenggara berdasarkan kos, kecekapan logistik, tenaga kerja dan kemudahan menjalankan perniagaan.
Perak tidak boleh bergantung kepada kelebihan memiliki tanah yang luas atau kedudukan geografi semata-mata sebaliknya negeri itu perlu membuktikan bahawa kelebihan yang ditawarkan mampu membantu pelabur bukan sahaja memulakan operasi tetapi juga berkembang dalam tempoh panjang.
Pada 2025, Perak merekodkan pelaburan berjumlah RM15.75 bilion membabitkan 560 projek, manakala 75 peratus daripada projek yang diluluskan berjaya direalisasikan berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Data pelaburan itu menunjukkan Perak sudah mempunyai asas untuk membina keyakinan tersebut dan angka tersebut memberi gambaran bahawa keyakinan terhadap negeri itu bukan sekadar wujud pada peringkat perbincangan, malah sebahagian besar pelaburan yang diluluskan telah bergerak ke peringkat pelaksanaan.
Pada masa sama, ekonomi Perak turut berkembang 5.7 peratus kepada RM91.5 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional sebanyak 5.2 peratus.
Lebih ketara, sektor pembuatan berkembang 15.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan aktiviti industri semakin menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri.
Angka tersebut memberikan jawapan awal kepada persoalan ‘mengapa Perak?’, namun ia belum memadai sekiranya negeri ini mahu bersaing untuk pelaburan yang lebih besar dan bernilai tinggi pada masa akan datang.
Jika diamati situasi ini sudah dirancang kerajaan negeri dengan mengutamakan perubahan struktur ekonomi dan pembangunan beberapa kawasan pertumbuhan yang sedang dirancang untuk mempunyai kekuatan industri tersendiri.
Di utara Perak misalnya, Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) membuka ruang kepada pertumbuhan industri baharu, manakala Tanjong Malim diperkukuh sebagai hab automotif dan pembuatan menerusi Automotive High Technology Valley (AHTV), KLK TechPark dan Tanjong Malim HiTech Park.
Di kawasan Kinta pula, Silver Valley Technology Park menyediakan ruang kepada pengembangan industri berasaskan teknologi, sementara di kawasan pesisir, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) membuka potensi dalam sektor maritim.
Pada masa sama, Perak Halal Industrial Park memberi tumpuan kepada peluang dalam sektor halal yang mempunyai pasaran lebih luas di peringkat domestik dan antarabangsa.
Jika dilihat secara keseluruhan, pembangunan tersebut menunjukkan Perak sedang cuba bergerak daripada pendekatan menawarkan kawasan industri secara berselerak kepada pembentukan beberapa kluster pertumbuhan berdasarkan kekuatan wilayah masing-masing.
Pendekatan itu penting kerana pelabur hari ini bukan sekadar mencari tanah untuk mendirikan kilang, mereka memerlukan ekosistem lengkap yang merangkumi jaringan jalan raya dan logistik, bekalan air serta tenaga yang mencukupi, tenaga kerja berkemahiran, rantaian bekalan dan proses kelulusan yang cekap.
Apabila semakin banyak syarikat melihat Perak sebagai lokasi untuk membina dan mengembangkan operasi, kerajaan negeri perlu memastikan negeri mempunyai ruang dan ekosistem yang mampu menyokong pertumbuhan berkenaan.
Namun, membangunkan kawasan industri sahaja tidak bermakna jika pelabur masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan utiliti, kelulusan teknikal atau penyelarasan antara jabatan dan agensi.
Dalam hal ini, keupayaan kerajaan memudahkan perjalanan pelabur boleh menjadi sebahagian daripada kelebihan daya saing Perak.
Justeru, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MIDA, menjadi penting dalam memastikan ekosistem pelaburan Perak benar-benar bersedia.
Maka persoalan ‘mengapa Perak’ perlu dijawab dengan ekosistem yang mampu bersaing, manakala ‘mengapa sekarang’ perlu dijawab dengan kesediaan untuk bertindak ketika peluang pelaburan sedang terbuka.
Dalam persaingan mendapatkan pelaburan yang tidak lagi mengenal sempadan negeri dan negara, Perak tidak boleh sekadar memberitahu dunia bahawa negeri ini mempunyai potensi sebaliknya ia perlu dibuktikan dengan ketersediaan tapak, infrastruktur, tenaga kerja, ekosistem dan kerajaan yang bersedia untuk menjadikannya satu kenyataan.
Jika itu berjaya dilakukan, persoalan ‘mengapa Perak, mengapa sekarang?’ bukan lagi sekadar slogan promosi pelaburan sebaliknya, ia boleh menjadi jawapan yang benar-benar meyakinkan kepada syarikat yang sedang menentukan lokasi untuk pelaburan mereka yang seterusnya.
Pada asasnya, usaha memperkukuh ekosistem pelaburan itu tidak seharusnya dilihat sebagai agenda ekonomi yang berdiri sendiri, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kesejahteraan ekonomi sebagai antara sasaran utama pembangunan negeri.
Dalam konteks ini, pelaburan bukan sekadar diukur melalui nilai modal yang dibawa masuk, tetapi sejauh mana ia mampu mencipta pekerjaan berkualiti, membuka peluang kepada perusahaan tempatan, memperkukuh kemahiran tenaga kerja serta mewujudkan rantaian ekonomi yang memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat. -MG Perak
















