KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara Shahrol Shiro dilantik sebagai tenaga pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
UKM dalam kenyataan memaklumkan, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi akan membimbing pelajar dalam bidang stand-up comedy di bawah Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).
Bagaimanapun, skop tugas Shahrol tertumpu kepada latihan amali dan praktikal tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah.
“Lantikan ini juga adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi,” menurut kenyataan itu.

UKM menjelaskan, Kursus Citra Seni Lakon ditawarkan di bawah Citra Kebudayaan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai seni persembahan, khususnya asas lakonan dan persembahan.
FPSC merupakan fakulti yang menumpukan pengajian transdisiplin termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.
Sementara itu, Shahrol menerusi hantaran di Facebooknya menyambut baik tawaran UKM sebagai salah seorang tenaga pengajar kursus citra universiti sesi 2026/2027.
“Komedi memerlukan keberanian serta keyakinan individu berdiri di atas pentas yang diadun bersama kemahiran komunikasi yang sangat baik.
“Kemahiran ini sangat diperlukan hari ini yang menjadi asas dalam menyampaikan mesej memandangkan waktu fokus generasi hari ini sangat singkat.
“Semoga komedi beredukasi ini dapat membantu perjalanan di lapangan kelak. Jumpa nanti ya adik-adik UKM,” tulisnya. – MalaysiaGazette
















