Suasana pengebumian isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada usia 100 tahun selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, di sini, hari ini dengan penuh penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Istiadat mengusung jenazah taraf persekutuan Allahyarham yang juga tokoh negara itu diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat, membabitkan lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat berlangsung, dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham sebelum jenazah disemadikan.

Selesai pengebumian kira-kira pukul 6.40 petang itu, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood.

Talkin kemudiannya disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Allahyarham Dr Siti Hasmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan tujuh anak.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang dari IJN ke kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada 10.48 pagi tadi, sebelum dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk disolatkan.

Jenazah isteri Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali telah tiba di masjid As Syarif untuk disembahyangkan. Foto AIMAN RIZAL, 28 SEPTEMBER 2026.

Allahyarham merupakan antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, Allahyarham melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya dan di institusi berkenaanlah Allahyarham bertemu Dr Mahathir sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada 1956.

Selain dikenali sebagai pendamping setia Tun Dr Mahathir, Allahyarham turut meninggalkan jasa besar dalam bidang kesihatan menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

Orang ramai hadir dalam menunaikan solat jenazah ke atas Jenazah isteri Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di masjid As Syarif. Foto AIMAN RIZAL, 28 SEPTEMBER 2026.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here