KUANTAN – Pembiayaan logistik Kembara Jejak Alumni UMPSA 2026 sempena Hari Malaysia baru-baru ini ditanggung sendiri oleh peserta selain sumbangan penaja.
Perkara itu ditegaskan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sebagai maklum balas kepada tuntutan terbuka Majlis Tertinggi Alumninya semalam.
Dalam kenyataan Majlis Tertinggi Alumni UMPSA semalam, penganjuran melibatkan perjalanan sejauh 3,071 kilometer itu menuntut penjelasan jauh lebih kukuh daripada dakwaan umum bahawa rombongan itu sedang menjejaki alumni.
“JHEPA UMPSA mengambil maklum persoalan berkaitan pelaksanaan Kembara Jejak Alumni UMPSA Borneo Sempena Hari Malaysia 2026 baru-baru ini.
“Dari aspek pembiayaan, RM36,900 penajaan berjaya diperoleh, manakala tanggungan universiti hanya RM2,103, melibatkan keraian alumni di Kota Kinabalu dan Kuching.
“Kos perjalanan udara, penginapan dan makan minum lain ditanggung sendiri oleh peserta atau melalui sumbangan penaja,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, program itu dilaksanakan berteraskan konsep kos rendah, impak tinggi dengan merangkumi libat urus alumni, promosi pendidikan, jaringan institusi, kebajikan dan kerjasama industri di Sabah, Brunei dan Sarawak.
Menerusi program itu, katanya rombongan terbabit berjaya menyantuni 55 alumni, mendekati hampir 1,000 pelajar, mengunjungi sembilan Kolej Vokasional di Sabah dan Sarawak, melaksanakan Ziarah Kasih, Ziarah Prihatin oleh Skuad UMPSA bersama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain memperkukuh jaringan institusi melalui penglibatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Jaringan alumni turut menyumbang kepada pembangunan universiti melalui RM5,235 kutipan Endowmen PIN Alumni, lebih RM32,000 sumbangan projek Jambatan Iman, serta sokongan bukan tunai (in-kind) daripada Alstom bernilai sekitar RM31 juta.
“Libat urus ini turut membuka ruang kepada pembangunan latihan Six Sigma Green Belt dan AI 2.0, geran penyelidikan padanan, peluang pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah serta peluasan jaringan industri,” jelasnya lagi.
Justeru, katanya, UMPSA akan terus memperkukuh penglibatan alumni melalui Alumni Back to Campus, Sukan Alumni, Perarakan Konvokesyen Alumni, sambutan ulang tahun ke-25 universiti serta platform jaringan LinkMe.
Sementara itu, JHEPA UMPSA dalam kenyataan berasingan turut mengumumkan Notis Pengisytiharan Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA sesi 2025/2026 berkuat kuasa hari ini.
“Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA (SPMPP-UMPSA) mengumumkan pada hari ini berdasarkan peruntukan di bawah perkara 40 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 Perlembagaan UMP, Peraturan-Peraturan UMPSA (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar), maka dengan ini diisytihar bahawa MPP UMPSA adalah dibubarkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pemegang jawatan MPP interim akan terus memegang jawatan masing-masing sehingga pembentukan kabinet baru MPP diumumkan Naib Canselor UMPSA. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Majlis Tertinggi Alumni UMPSA pertikai perbelanjaan konvoi bermotosikal
















