MELAKA – Belum ada sebarang keputusan muktamad dicapai berhubung kerjasama politik antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk R. Sri Sanjeevan berkata, pertemuan makan malam tertutup malam tadi hanya sesi suai kenal, selain perbincangan awal mengenai hala tuju parti masing-masing dalam PRN.
“Pertemuan malam ni setakat satu jamuan makan malam, saling kenal-mengenali antara satu sama lai dan ada sedikit perbincangan serta beberapa pertimbangan mengenai apa yang kita nak lakukan ke arah PRN Melaka,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.
Sri Sanjeevan yang merupakan Ketua Bersekutu Bersatu berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk duduk semeja dengan PH, sejajar dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terbuka untuk sebarang bentuk kerjasama.
“Bersatu dengan PH tidak ada masalah. Kalau kita boleh duduk semeja, makan bersama, maksudnya tak ada masalah dan Presiden Bersatu pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyebutkan Bersatu terbuka ke arah apa-apa kerjasama dengan mana-mana pihak,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada keputusan dicapai dalam pertemuan pada majlis makan malam tersebut.
“Belum ada apa-apa keputusan setakat ini,” tegasnya.
Jelas Sri Sanjeevan, Bersatu bukan hanya berunding dengan PH, malah turut didekati oleh beberapa pihak lain yang berminat untuk bekerjasama menjelang PRN Melaka.
“Kalau hendak kata ada rundingan dengan PH sahaja, itu berat sebelah. Ada pihak lain pun yang berjumpa dengan Bersatu. Ada rundingan dengan pihak lain yang mahu melamar Bersatu juga,” katanya.
Menurutnya, semua cadangan dan hasil rundingan akan dikemukan ke peringkat MPT Bersatu untuk diputuskan.
“Pihak mana yang akan serasi, apa yang dirunding tu akan dibawa ke dalam MPT dan akan diputuskan di situ. Jadi kalau saya nak bagi komen, saya rasa tak wajar saya bagi komen sekarang. Saya tak nak mendahului pimpinan,” katanya.
Majlis makan malam tertutup malam tadi dihadiri hampir 25 pimpinan Bersatu dan PH Melaka termasuk Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abdul Halim dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat. – MalaysiaGazzette
















