SEREMBAN – Seramai 100 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 daripada 12 sekolah di sekitar Negeri Sembilan telah menyertai Program STEM Camp MOSTI 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2.
Program sehari itu memberi peluang kepada peserta meneroka hubungan antara kimia, kehidupan seharian dan alam sekitar
melalui aktiviti yang interaktif.
Program anjuran Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar bersama Kelab Kimia (Al-Chemist), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah itu telah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR), Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Duopharma
Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd.
Aktiviti STEM ini ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS), sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang pembelajaran sains secara amali kepada pelajar sekolah.

Berteraskan tema hubungan kimia dengan kehidupan dan alam sekitar, program ini menggunakan terminologi dan analogi daripada pengalaman harian dan istilah saintifik yang mudah difahami untuk membantu pelajar memahami konsep kimia.
Peserta kemudiannya menguji kefahaman mereka melalui eksperimen amali yang mudah dan selamat. Antara aktiviti
yang dijalankan ialah modul Chromatic Detectives – Reverse Separation Lab, Buih & Batu Kapur – Rahsia Hujan Asid, Plant Pigment as Indicators – Watch Metals Change Colors dan EcoBatik:Chemistry Meets Cultural Art.
Melalui aktiviti tersebut, pelajar berpeluang membuat pemerhatian, membandingkan hasil eksperimen dan mengaitkan penemuan mereka dengan konsep yang dipelajari di sekolah.
Empat modul interaktif disediakan bagi menunjukkan konsep kimia dapat ditemui dalam kehidupan seharian, alam sekitar dan seni budaya.
Dalam modul Chromatic Detectives – Reverse Separation Lab, pelajar meneroka konsep pemisahan dan memerhati bagaimana komponen dalam sesuatu campuran dapat dikenal pasti.

Modul Buih & Batu Kapur – Rahsia Hujan Asid pula menggunakan pemerhatian terhadap tindak balas kimia untuk membantu peserta memahami kesan bahan berasid terhadap batu kapur dan mengaitkannya dengan isu alam sekitar.
Melalui modul Plant Pigment as Indicators – Watch Metals Change Colors, peserta memerhati perubahan warna pigmen tumbuhan apabila dititiskan ke dalam larutan garam dan membincangkan maklumat yang boleh diperoleh daripada perubahan tersebut.
Sementara itu, EcoBatik: Chemistry Meets Cultural Art memperlihatkan hubungan antara prinsip kimia dengan
penghasilan karya seni berasaskan batik, sekali gus memperkenalkan sains melalui warisan budaya yang dekat dengan masyarakat.
Sepanjang aktiviti, fasilitator menggunakan analogi daripada situasi harian untuk menerangkan konsep sebelum memperkenalkan istilah saintifik yang berkaitan.
Peserta kemudiannya berpeluang menjalankan aktiviti amali, merekod pemerhatian, bertanya soalan dan membincangkan hasil bersama rakan sekumpulan.
Pendekatan ini diharapkan dapat membina keyakinan pelajar untuk memahami serta menggunakan bahasa sains, di samping menyemai rasa ingin tahu terhadap bidang kimia.
Keunikan program ini turut terletak pada penglibatan pelajar Kelab Kimia (Al-Chemist) UiTM sebagai fasilitator utama.
Mereka membimbing peserta sepanjang aktiviti, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran rakan sebaya. Peranan itu juga memberi ruang kepada pelajar UiTM untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia, ALIR dan wakil industri pula memperkenalkan peserta kepada aplikasi kimia di luar bilik darjah.
Pendedahan ini membantu mereka melihat kaitan antara ilmu sains, pemeliharaan alam sekitar serta peluang kerjaya dalam bidang STEM.
Selain sekolah tuan rumah, program ini disertai pelajar dari SMK Bukit Saujana, SMK Chan Wa II, SMK Dato’ Klana Putra, SMK Dato’ Sedia Raja, SMK Desa Cempaka, SMK Intan Perdana, SMK Jelai Felda, SMK Senawang, SMK Seremban Jaya, SMK Seri Pagi dan SMK Tunku Kurshiah.
Penganjuran STEM Camp MOSTI 2026 mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti melalui pembelajaran STEM berasaskan pengalaman.
Dengan menghubungkan eksperimen kepada isu dan situasi sebenar, program ini diharapkan dapat memupuk minat terhadap sains serta membina generasi muda yang berfikiran kritis, kreatif dan prihatin terhadap alam sekitar. – MalaysiaGazette
















