KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan kewajaran melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun secara langsung dalam proses pengisytiharan harta yang berkait dengan urusan kewangan orang dewasa.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirao Veraman berkata, usaha SPRM menyiasat dakwaan rasuah, menjejaki aliran wang dan mengenal pasti aset yang mungkin diperoleh secara tidak sah sememangnya perlu disokong.
Namun katanya, ketegasan dalam menjalankan siasatan tidak seharusnya mengetepikan prinsip kewajaran serta perlindungan terhadap kanak-kanak.
“Persoalannya ialah mengapa seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun perlu dilibatkan secara langsung dalam proses pengisytiharan harta yang pada hakikatnya berkaitan dengan urusan kewangan dan transaksi yang dilakukan oleh orang dewasa.
“Sekiranya terdapat aset yang didaftarkan atas nama kanak-kanak, saya tidak mempertikaikan keperluan untuk aset tersebut disiasat mengikut undang-undang.
“Bagaimanapun, menyiasat aset yang didaftarkan atas nama kanak-kanak adalah perkara berbeza daripada meletakkan tanggungjawab kepada kanak-kanak itu sendiri untuk menjelaskan urusan kewangan orang dewasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa wajar menentukan sumber kewangan, pihak yang menguruskan transaksi, individu yang mempunyai kawalan terhadap aset serta pemilik benefisial sebenar sekiranya terdapat aset mencurigakan.
Katanya, kanak-kanak berusia 12 tahun tidak seharusnya diperlakukan seolah-olah mempunyai pengetahuan, kefahaman dan tanggungjawab yang sama seperti orang dewasa terhadap transaksi kewangan kompleks.
Ganabatirao berkata, sebarang tindakan yang melibatkan kanak-kanak perlu mengambil kira kepentingan terbaik, maruah dan kesejahteraan mereka selain memastikan penglibatan itu benar-benar diperlukan serta bersesuaian dengan usia dan tahap kefahaman mereka.
Beliau turut mempersoalkan sama ada maklumat yang diperlukan SPRM benar-benar berada dalam pengetahuan kanak-kanak berkenaan atau boleh diperoleh melalui saluran lain.
“SPRM mempunyai pelbagai saluran untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan, termasuk daripada ibu bapa atau penjaga, institusi kewangan, rekod tanah, rekod syarikat dan pihak lain yang berkaitan.
“Justeru, SPRM perlu menjelaskan apakah asas undang-undang dan keperluan khusus untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dilibatkan secara langsung dalam proses tersebut,” ujarnya.
Beliau turut meminta SPRM menjelaskan garis panduan serta perlindungan khas yang digunakan apabila kuasa penyiasatan melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Ganabatirao berkata, jika terdapat aset yang menggunakan nama kanak-kanak bagi menyembunyikan pemilikan atau sumber dana, fokus sewajarnya diberikan kepada pihak dewasa yang menyediakan, mengurus atau mengawal aset berkenaan.
“Ini bukan soal menghalang SPRM menjalankan tugasnya, sebaliknya soal bagaimana kuasa yang diberikan oleh undang-undang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, kewajaran dan sensitiviti, khususnya apabila melibatkan seorang kanak-kanak.
“Prinsip perkadaran penting dalam setiap tindakan penguatkuasaan. Kuasa yang luas perlu digunakan setakat yang diperlukan untuk mencapai tujuan siasatan, dengan mengambil kira usia dan keadaan individu yang terlibat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana sedang disiasat, sebaliknya segala pertuduhan perlu diputuskan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
“Jika terdapat bukti salah laku, siasat. Jika terdapat aset yang mencurigakan, jejaki. Jika terdapat individu dewasa yang bertanggungjawab, ambil tindakan mengikut undang-undang.
“Tetapi jangan meletakkan beban urusan kewangan orang dewasa ke atas bahu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun tanpa penjelasan yang benar-benar kukuh dan munasabah,” tegasnya.
Semalam, dua orang anak dan isteri Datuk Seri M Saravanan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menerima notis pengisytiharan harta, mencetuskan pelbagai persoalan mengenai kaedah pelaksanaan kuasa berkenaan apabila ia membabitkan kanak-kanak bawah umur. – MalaysiaGazette
















